Pembikin filem seram tempatan perlu membuka hijab ~ That Movie Blogger Fella

Wednesday, October 19, 2011

Pembikin filem seram tempatan perlu membuka hijab

Al-Hijab
My rating:




Isu yang hangat didebatkan di blogosfera baru-baru ini ialah kenyataan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bahawa lambakan filem seram dalam industri filem tempatan kita akan membantut minda rakyat dan menggalakkan kepercayaan karut. Saya amat tertarik dengan isu ini, dan saya ada membubuh komen dalam catatan blog Tontonfilem yang membincangkan isu ini. Dan ketika menonton filem baru Al-Hijab (yang dah tak baru dah, sebab TMBF sangat lembap menulis rebiu) saya terfikir lagi tentang isu filem seram tempatan; jadi dalam catatan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk memincang sedikit dari mengulas filem ini untuk mengomentar sedikit.

Lagipun filem ni, aku kira sederhana je.

Rafael (Pierre Andre) seorang pelakon rookie yang berpacaran dengan Qiss (Nur Fathia). Dia ditawarkan peluang untuk menjadi watak utama dalam sebuah filem seram, tetapi oleh kerana dia seorang yang tidak percaya wujudnya hantu, dia menghadapi kesukaran untuk menghayati rasa seram. Atas sebab itu, dia meminta pertolongan dari seorang nenek tua bernama Mak Itam (Maimon Mutalib) untuk membuka "hijab"nya dan membolehkan dia melihat makhluk dari dunia halus. Ini merupakan langkah yang kurang bijak.

Saya tak pernah bersetuju dengan mana-mana pihak yang ingin melarang unsur-unsur seram dari filem dan TV, dan saya tak setuju sama sekali dengan cadangan hendak mengawal filem seram. Malah dulu saya berpendapat bahawa makin banyak cerita hantu yang diterbitkan di media umum, makin sedar rakyat jelata bahawa hantu tu hanya rekaan semata-mata. Sebab filem, TV, novel, komik, iklan, dll. itu semuanya benda rekaan. Masyarakat Barat dahulukala percayakan vampire, serta macam-macam kepercayaan tahyul tentang makhluk yang bangkit semula selepas mati untuk menghisap darah manusia. Sekarang dah tak. Siapa lagi di zaman moden ini, samada orang Barat atau Timur, yang masih takut vampire? Ini kerana kepercayaan tersebut sudah dipupuskan oleh cereka-cereka yang mempopularkan watak vampire. Sehingga sekarang, bila sebut vampire, kita tidak terfikir makhluk yang mengerikan, sebaliknya balak jambu berambut mekar yang berkilau-kilau bila kena matahari.

Tapi setelah sekian lama saya menonton filem-filem seram Melayu, pendapat saya itu telah berubah. Kerana saya dapati pendekatan filem-filem ini terhadap subjek hantu, bukannya "ini bahan yang boleh kita gubah untuk dijadikan cerita yang menarik." Sebaliknya, pendekatan mereka ialah "ini benda yang benar yang perlu kita patuhi kebenarannya dalam cerita kita." Filem hantu Melayu semuanya menganggap makhluk halus memang wujud, seolah-olah ianya fakta asas yang tak perlu dijelaskan. Simtomnya ada dalam filem Al-Hijab ini, dimana sarikata Inggerisnya (baidewei, saya nak puji sikit filem ini mengambil inisiatif untuk mengadakan sarikata BI, kebanyakan filem Melayu tak) menggunakan perkataan eerie apabila orang bercakap tentang tempat yang keras. Setahu saya, "keras" bermaksud "tempat dimana wujudnya hantu", tetapi "eerie" bermaksud "suasana yang mengerikan". Sesuai ke penterjemahan tu? Mana-mana tempat yang gelap pun eerie. Rumah aku waktu malam tutup lampu pun eerie, tapi aku duduk sana bertahun-tahun tak pernah pun nampak hantu.

Pendekatan ini sebenarnya menghalang perkembangan filem seram tempatan, kerana ia menunjukkan daya imaginasi yang cetek. Cerita yang berkesan perlu ada logiknya yang tersendiri, tetapi apa yang logik tentang kepercayaan tahyul? Tak pernah saya menonton cerita seram Melayu yang membezakan antara hantu, yakni roh manusia yang tidak aman selepas mati, dengan jin, yakni makhluk halus yang wujud di dunia halus. Apa kehendak mereka, samada hantu atau jin? Apa sebab mereka muncul dalam cerita ini, dan apa matlamat mereka disebalik segala perbuatan mereka? Dalam filem ini, tujuan mereka nampaknya hanya untuk menakut-nakutkan si Rafael ni. Ini membuat saya terilham idea tentang Persatuan Hantu-Hantu Malaysia yang sering bermesyuarat untuk membincangkan teknik-teknik penakutan yang baru.

Itu juga premis cerita Beetlejuice. Filem arahan Tim Burton dari tahun 1988, mengisahkan sepasang suami isteri hantu (lakonan Alec Baldwin dan Geena Davis) ingin menghalau keluarga yang baru pindah masuk ke rumah mereka dan mengupah hantu pakar penakutan yang dilakonkan oleh Michael Keaton. Inilah contoh filem yang mengimaginasikan cerita yang segar dan asli, yang tidak tersekat dengan apa yang orang kata "benar" tentang hantu. Satu lagi contoh ialah filem hantu klasik moden The Sixth Sense. Jika anda kaji filem itu, seluruh plotnya bergantung atas dialog "they don't know they're dead." Inilah satu-satunya idea rekaan M. Night Shyamalan yang menjayakan filem tersebut; sudah tentu ia takkan berjaya - malah mungkin tak terbikin - jika Shyamalan percaya hantu sebenar takkan tak tahu diri mereka itu hantu.

Inilah kekurangan filem Al-Hijab ini - tetapi bukan hanya itu kekurangannya. Dialog skrip Pierre Andre terlalu banyak yang atas hidung. Pacingnya juga longgar; Rafael hanya membuka hijabnya di titik pertengahan cerita, sedangkan itu premisnya. Di tengah-tengah ada adegan comic relief bangang dimana tumpuan tiba-tiba bertukar dari watak protagonis kepada tiga budak lori (Bell Ngasri, Munir dan seorang lagi yang tak dapat saya cari namanya) yang tak lawak pun. Pengakhirannya menampilkan plot twist yang senang diduga. Nur Fathia tak lebih dari gula-gula mata; Pierre ada masukkan babak Rafael dan Qiss bermanja-manjaan, tetapi ketiadaan chemistry antara kedua pelakon menyebabkan ia kelihatan kekok. Tapi sebagai pengarah, Pierre mahir mencipta suasana yang mengerikan (i.e. eerie) dengan sinematografi dan muzik yang berkesan; mungkin beliau ada dapat beberapa tips dari Woo Ming Jin kot. Dan sebagai pelakon, beliau cukup berani melakonkan babak panjang Rafael bersendirian; bukan senang nak berlakon tanpa interaksi dengan orang lain. Tapi saya hairan mengapa beliau asyik menggumam sebutan dialognya.

Dan watak Rafael ni bukan paparan seorang skeptik (macam saya!) yang jujur; dia tak pernah menyoal sebarang kepercayaan tahyul atau mencari penjelasan sebenar. Malah, jika dia membuat keputusan untuk membuka hijabnya, bermaksud dia setuju dengan kewujudan makhluk halus yang dia cuma tak nampak. Begitu juga dengan filem ini yang percaya wujudnya hantu dan jembalang, serta hampir kesemua filem seram Melayu. Saya rasa tak salah jika pembikin filem menghasilkan karya yang melambangkan kepercayaan mereka sendiri - mahupun karya yang akur kepada kepercayaan audiensnya. Dan saya rasa bukan tanggungjawab industri filem untuk mendidik masyarakat. (Itu tanggungjawab pendidik, i.e. guru, sekolah dan kurikulum.) Poin saya ialah, filem yang baik dan segar hanya boleh dibikin oleh pembikin yang imaginatif dan terbuka mindanya; bermaksud, orang yang tak percayakan hantulah yang pandai buat cerita hantu. Lambakan filem seram yang kita dapat sekarang ini semuanya hampa, kerana pembikin-pembikinnya tersekat dengan kepercayaan mereka.

NEXT REVIEW: Real Steel
Expectations: it can't be that good, can it?

0 comments: