Komedi, mana engkau pergi? ~ That Movie Blogger Fella

Sunday, November 18, 2012

Komedi, mana engkau pergi?

Istanbul Aku Datang
My rating:




Pembikin dan cendekiawan filem Amir Muhammad menggelar filem ini, bersama dengan Gol & Gincu dan Pisau Cukur, sebagai "Gedik Trilogy" terbitan Red Films. Ketiga-tiganya diarah oleh Bernard Chauly, ditulis oleh Rafidah Abdullah, dan memaparkan watak utama perempuan yang muda, periang dan (ofkos) gedik. Saya tidak menonton Gol & Gincu tapi saya menyukai Pisau Cukur, dan saya ada memuji saudara Chauly sebagai salah satu pengarah filem yang paling cekap dan berwibawa. Namun Chauly dan Rafidah nampaknya jarang mengeluarkan filem; sudah tiga tahun sejak Pisau Cukur baru muncul Istanbul Aku Datang, babak ketiga dalam Gedik Trilogy ini. Saya sebenarnya tidak merancang untuk menonton filem ini, tapi mujurlah ada pembaca blog memberi komen yang merekomenkan filem ini. Saya gembira kerana sempat menontonnya - tapi bukan kerana ia best sangat.

Kerana saya berpeluang menulis tentang apa yang membuat sebuah filem komedi romantik bagus, dengan memberi contoh apa yang kurang dalam filem ini.

Dian (Lisa Surihani) membuat keputusan yang terburu-buru untuk mengembara ke Istanbul, Turki agar dapat bersama kekasihnya Azad (Tomok) yang sedang belajar di universiti di sana - tetapi dia kecewa dengan sambutan dingin dari Azad. Ketika mencari tempat tinggal, Dian tertipu oleh seorang lelaki Turki (Mert Yavuzcan) dan terpaksa tinggal serumah dengan Harris (Beto Kusyairy), seorang lelaki dari Malaysia yang langsung tidak senang berkongsi tempat tinggal dengan Dian. Tetapi sambil hubungan Dian dengan Azad bertambah renggang, hubungan Dian dengan Harris pula bertambah mesra - sehingga Dian harus memilih siapa diantara mereka berdua yang memiliki hatinya.

Kekuatan tulisan Rafidah adalah dialog yang lucu dan bersahaja, yang berjaya menggelikan hati penonton-penonton dalam panggung saya. Arahan Chauly juga menampakkan sentuhan ringan yang efektif, mewujudkan suasana kelakar bagi filem ini. Tapi saya rasa keistimewaan filem-filem terbitan Red Films yang utama ialah watak-watak heroin yang menarik dan mendalam, yang juga memberi peluang bagi pelakon-pelakon wanita memberi persembahan yang mantap dan mencabar. Watak perempuan sebegini jarang dilihat dalam filem tempatan (dan bukan sahaja dalam filem tempatan), jadi sayanglah kalau Red Films tidak lebih kerap mengeluarkan filem. Humor dalam Istanbul Aku Datang adalah bernada mesra dan murah hati; jenakanya tidak memperli sesiapa, dan tiada watak yang benar-benar jahat atau patut dibenci. Ini semua benda yang saya suka.

Apa yang saya tak suka ialah jalan cerita yang tidak teliti dan tidak tekun. Kita tahu ini sebuah komedi romantik, jadi kita tahu Dian dan Harris akan jatuh cinta. Tapi kita tidak melihat mahupun merasainya. Mula-mula mereka saling membenci, tiba-tiba timbul perasaan cinta. Watak Harris pun tidak terbina; siapa sebenarnya mamat ni? Apa personalitinya, apa bezanya dari Azad sehingga Dian memilihnya sebagai kekasih? Mengapa sampai hampir babak klimaks baru kita tahu apa pekerjaannya? Dan mengapa Rafidah dan Chauly hanya menggunakan adegan-adegan montaj berlagu bagi menceritakan kisah cinta mereka? Bagilah mamat dan minah ni betul-betul berkenalan, bersama dialog yang mencuit serta menyentuh hati. Kalau harapkan montaj saja, ini penceritaan yang sungguh malas. Cerita ini malas!

Sifat malas inilah yang amat mengecewakan saya. Genre filem ini ialah komedi romantik, tetapi komedinya setakat separuh pertama sahaja. Lepas pertengahan jalan, langsung tiada lawak jenaka lagi. Mengapa, saudara Chauly dan saudari Rafidah? Ini bukan cara nak buat cerita romantic comedy; walaupun dilema percintaan heroin anda makin serius, unsur komedi tetap perlu ada. Separuh keduanya bertukar menjadi melodrama yang sappy dan telalu sentimental - dan masalahnya, jika separuh pertama adalah komedi, begitulah jangkaan penonton terhadap cerita seterusnya. Penonton sudah bersedia untuk ketawa. Penonton dalam panggung saya ketawakan adegan Harris mencuci rambut Dian, dan pasti ini bukan niat anda bukan, saudara Chauly dan saudari Rafidah? Anda ingatkan adegan ini sedih dan pilu, bukan?

Pemilihan pelakon juga agak ragu-ragu. Lisa Surihani adalah antara pelakon wanita yang paling popular dan berkarisma; tiada masalah bagi beliau membawa watak heroin Red Films. Tetapi kedua-dua pelakon gandingannya pula kurang sesuai. Tomok Indrawan sering kelihatan kayu, terutama bila berlakon disamping Lisa yang ceria. Beto Kusyairy pula, mungkin beliau dihampakan oleh skrip yang tidak membina wataknya, seperti yang dikatakan. Tetapi saya tetap rasa Beto salah dipilih sebagai watak utama lelaki dalam filem komedi romantik. Raut mukanya sentiasa serius dan garang. Lakonannya dalam babak-babak komedi adakala tidak natural, dan beliau tiada banyak chemistry dengan Lisa.

Tetapi saya tidak patut terlalu keras mengkritik filem ini. Dahlah saya memberinya 3 bintang, kerana ia tetap sebuah filem yang menghiburkan - malah saya ingin melihat banyak lagi filem tempatan sebegini. Selain komedi yang bersahaja dan dialog yang kelakar, ia juga memaparkan keindahan kota Istanbul dimana ia difilemkan; filem ini boleh dilihat sebagai travel porn yang berjaya. Chauly juga boleh berbangga atas kejayaan ko-produksi ini bersama kru dan pelakon Turki. Dan sudah tentu saya tidak mahu menunggu tiga tahun lagi sebelum keluar filem seterusnya dari Chauly, Rafidah dan Red Films. Kekuatan mereka amat dialu-alukan - dan kelemahan mereka pula sesuatu yang perlu diperbaiki dengan lebih banyak latihan. Kita tunggu babak seterusnya dalam Gedik Quadrilogy nanti.

NEXT REVIEW: War of the Worlds: Goliath
Expectations: man, I have nooooo idea 

3 comments:

Buyoq said...

x review sinister ke bro ?

Prince of Noob said...

3 bintang je cerita melayu ni? tak nak tengok lah

qminz said...

pelik.. kenapa dia orang ketawa??
I cried a river untuk babak patah seribu tu. hurm...*aku yang pelik ke dia orang yg pelik?*