... Dalam Botol
My rating:
Saya pernah menggelar Sini Ada Hantu sebuah filem yang berani, tapi sepatutnya saya simpan pujian itu untuk filem ini. Saya ragu ianya filem tempatan bertemakan gay yang pertama - Bukak Api kan ada - tapi saya pasti ianya filem tempatan bertemakan gay yang pertama ditayangkan luas di panggung. Tapi keberaniannya bukan hanya pada temanya, malah juga pada pendekatannya yang jauh lebih sofistikated dari hampir kesemua filem tempatan yang pernah saya tonton sejak saya mula menonton filem tempatan. Malangnya, dari apa yang saya lihat keberaniannya tidak dihargai. Banyak rebiu yang ditulis di blog dan website hiburan yang mengecamnya bosan dan sukar difahami. (Googlelah sendiri, aku malas nak link kat diorang.) Yang paling teruknya, audiens dalam tayangan saya semuanya kuat merungut, berbual-bual, mendengar talipon dan berSMS.
... Dalam Botol adalah antara filem tempatan yang terbaik tahun ini. Diorang tak paham sebab diorang bodoh.
Rubidin (Arja Lee) ialah seorang lelaki gay yang menukar jantinanya - serta namanya menjadi Ruby - kerana ingin memuaskan nafsu kekasihnya Gaus (Wan Raja). Tetapi Gaus tidak setia dan menolak identiti Ruby yang baru; disamping itu, dia juga telah membolot wang dan harta Ruby sehingga Ruby kini menanggung hutang keliling perut. Kawannya Jem (Rosnan Rahman) cuba menolong, tetapi Ruby terpaksa juga pulang ke kampung halaman dan berhadapan dengan ibu (Normah Damanhuri) dan ayahnya (Jalil Hamid) yang mencela cara hidupnya. Di kampung, Ruby kembali menjadi lelaki - bernama Bidin - dan mengenali Dina (Diana Danielle), anak perempuan kawan ibunya Makcik Sherry (Fauziah Ahmad Daud). Dan apabila Dina mula jatuh cinta dengannya, Ruby/Bidin terpaksa berhadapan dengan soalan: siapa, dan apa, dirinya?
Sebenarnya saya dah tengok filem ini dua kali. Bukan sahaja kerana ia filem yang bagus, juga kerana tontonan pertama di Cineleisure Damansara amat menghampakan. Sound system koyak, sering diganggu bunyi bass dari tayangan World Invasion: Battle Los Angeles di panggung sebelah, serta penonton-penonton lain yang bangang. Jadi saya teringin nak menontonnya kali kedua, kerana ia filem yang mempunyai makna yang sungguh mendalam dan saya mahu menghayati maknanya. Sukar hendak dipercayai ini filem arahan Khir Rahman yang pertama; beliau lebih dikenali sebagai pelakon yang sering menyeri filem-filem yang dilakonkannya walaupun filem itu teruk. Jelaslah bahawa bakatnya tidak terhad kepada bidang lakonan. Ingat lagi basic filmmaking craft yang saya sebut dalam rebiu sebelum ini? Filem ini ada, malah jauh melangkaui tahap basic.
Ini bukan cerita rekaan semata-mata; ini adalah filem yang menyelami dunia sebenar, serta watak-watak yang rumit bahkan insan manusia yang sebenar. (Menurut penerbit Raja Azmi, ia berdasarkan kisah benar seorang kenalannya. Saya tak ambil kisah semua itu, saya hanya lihat filem ini sebagai filem.) Ruby/Bidin adalah seorang yang lemah, keliru dan bebal; tetapi kelemahan, kekeliruan dan kebebalannya realistik. Dia bukan watak yang senang disukai, tetapi filem ini menjadikannya watak yang boleh difahami. Kita faham bahawa, walaupun dirinya sebagai perempuan tidak menjadi, namun dia sudah tidak boleh menerima dirinya sebagai lelaki. Kita faham mengapa dia tak berani memberitahu Dina tentang operasi tukar jantinanya, sedangkan Dina sedia menghulurkan rahmat kemaafan kepadanya. Dan kita (sepatutnya) faham mengapa Arja Lee melakonkannya sebagai seorang yang tertutup emosinya semasa di kampung - bukan kayu, seperti yang dikecam rebiu-rebiu dari orang yang tak faham.
Seorang lagi watak yang menarik ialah Gaus - tapi dia menarik bukan dari ertikata "baik" orangnya. Malah dia seorang bastard gred tertinggi - penakut, pendusta, pencuri dan penganiaya. Dia seorang yang pandai cari alasan untuk segala perbuatan kejinya. Bila menolak kekasihnya, dia kata "I tak suruh you buat!"; bila ditangkap basah ketika curang, dia kata "dia macam goda I"; bila melari dari tanggungjawab, dia kata "I tau I salah" (macamlah mengaku salah itu sama ertinya dengan menebus dosa); bila berkhianat dengki, dia kata "I kena jujur". Sekali lagi, semua ini adalah sifat yang realistik. Tiada siapa yang menganggap diri mereka jahat, atau sengaja melakukan sesuatu dengan niat jahat; masing-masing ada rasional dan justifikasi sendiri. Yang buat aku hairan ialah mengapa semua rebiu yang saya baca tidak menyebut betapa laknatnya watak ini. Korang tak sedar ke? Korang ingat dia okey ke?
Satu perkara lagi yang disebut dalam rebiu-rebiu lain ialah bagaimana ironinya filem tentang lelaki gay menampakkan lakonan pelakon wanita yang lebih hebat dari pelakon lelaki. Ini bukannya tidak benar - Normah Damanhuri, Diana Danielle dan Ogy Ahmad Daud semua memang hebat - tetapi sekali lagi, kritikan ini menunjukkan kurang faham dengan cerita ini. Watak Ruby/Bidin dan Gaus rumit, berbanding watak Sal, Dina dan Sherry yang lurus. Fungsi mereka hanyalah untuk bereaksi dengan Bidin dan pilihan-pilihan yang dibuatnya. Namun mereka juga berjaya dihidupkan oleh pelakon-pelakon dan skrip, menjadi watak-watak yang amat menyayat hati. Bukan saya seorang pengulas yang memuji adegan dekat pengakhiran diantara Ogy dan Diana, dimana perbuatan mengelap muka membawa makna yang dahsyat. Pedih mata saya menonton babak itu walaupun buat kali kedua.
Tapi bintang sebenar filem ini ialah Khir. Sofistikasi pengarahannya terletak dengan betapa teliti dia membikin filem ini; skrip, lakonan, sinematografi, lokasi penggambaran, runut bunyi, semuanya membawa makna. Dalam pengarahannya, kita lihat bagaimana masyarakat kampung ini terasa asing bagi Bidin. Dalam pengarahannya, kita lihat selitan humor yang ringan, yang juga menunjukkan keasingan Bidin dengan dunia kampung. Dalam pengarahannya, kita boleh rasa keperitan Ruby/Bidin serta ayahnya dalam babak mereka bersama. Dalam pengarahannya, kita percaya perasaan cinta Dina buat Bidin yang memekar. (Cuma bukan Bidin yang cintakan Dina, seperti yang dinyatakan dalam sinopsis yang salah. Ini penting!) Dalam pengarahannya, kita boleh rasa saspens dalam babak perkahwinan di akhir, hasil dari muzik pilihannya. Sekali lagi, bagi pengulas dan blogger lain yang jahil: ini bukan muzik rock, bodoh, ini muzik ominous!
Jujur kata, ini bukan filem yang sempurna. Mungkin kerana potongan yang diarahkan dari Lembaga Penapisan Filem, ada beberapa suntingan yang tidak kemas dan mendadak. Bahagian awal semasa di kota juga tidak sesedap ditonton bahagian di kampung, kerana plotnya agak perlahan; juga semasa bahagian ini, raungan dan tangisan Ruby yang tak henti-henti adakala menjengkelkan. Ya, ini sebuah filem seni atau art film, dimana bila orang bercakap, kena berhenti sejenak selepas setiap ayat. Tapi saya rasa bukan kelemahan-kelemahan ini yang membuat penonton kurang menyukai filem ini. Saya rasa ia kerana filem ini mencabar segala praanggapan dan prejudis mereka sebagai penonton filem tempatan dan masyarakat Melayu Islam. Filem mengenai golongan gay dan transseks yang tidak menghakimi mereka; dimana watak utamanya bukan hero; dimana kampung bukan penyelamat dan penyuci bagi orang kota; dimana agama bukan penyelesaian bagi segala-gala; dimana ada watak lelaki yang tak minat Diana Danielle.
Inilah sebenarnya kuasa sebuah filem, bahkan mana-mana hasil seni, untuk mencabar pegangan kita dan mengemukakan pandangan lain kepada kita. Bukan hanya sebagai hiburan kosong - dan bagi mereka yang mengkritik filem ini kerana gagal memberikan hiburan kosong, lantaklah diorang. Ini bunga, dan diorang hanya kera. Syabas Khir atas karya anda yang benar-benar groundbreaking dalam industri filem kita, dan moga anda berpeluang membikin banyak lagi filem tanpa batasan dan cacimakian. (Kalau nak buat filem hiburan semata-mata pun boleh; teknik-teknik perfileman anda boleh digunakan dalam genre komedi, seram, thriller, dan banyak lagi. Dan hiburan itu tak semestinya kosong.) Pedulilah mereka yang tak faham dan tak reti. Kita yang tak hidup dibawah tempurung hargai apa yang anda ingin katakan.
NEXT REVIEW: The Eagle
Expectations: yay Kevin Macdonald
Update: Sigh, once again I have to reneg on a movie I promised to review. The Eagle has pretty much ended its run here, so apologies to Malaysian fans of Kevin Macdonald (all one of you).
NEXT REVIEW: Source Code
Expectations: yay Duncan Jones
Thursday, April 7, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
15 comments:
Sigh... it's times like this that I really wish my BM was better. This review took forever, partly because I found it so hard to say what I wanted to say about this film (and I don't think I was entirely successful). And I needed to say it in Malay, I think.
"dan bagi mereka yang mengkritik filem ini kerana gagal memberikan hiburan kosong, lantaklah diorang. Ini bunga, dan diorang hanya kera."
You can't wish for a better BM.
I waited for your review before I go and watch it in the cinema (I was intrigued by the trailer and I find it hard to believe/trust other reviews).
Too bad your review came too late. My local cinema's not showing it anymore. Well, gotta find alternatives.
p/s: Eat this 2 Alam! =P
review yg best... setuju dgn semua apa yg you tulis!
der, BM lu lagi terer dari gua der. jgn risau. :P
and i agree, this is not for general consumption. certain circles je yg akan appreciate apa yg diketengahkan TANPA prejudis.
Sebuah review yang baik dan berilmu. Tidak seperti review-review bebal tentang filem ini yang ditulis oleh mereka yang jumud tentang filem dan naratifnya.
I salute you.
Nizam Zakaria
I totally agree with you. I menonton film ini dari perspektif emik. Kebenaran dalam filem ini tidak diselindung............
my lecturers also said the same thing! waa...kena tgk ni!
BM kau ok bro! teruskan rev lagi dan lagi :)
wow, rebiu yg amat lazat sekali!! aku suka.. ni kena bagi dr zul ni!
i wonder if this is the 1st time u gave 4 stars to a malaysian film
@fadz: Sini Ada Hantu and Setem both got 4 stars from me before.
Tak sempat nak tengok kat wayang sebab cepat sangat habis. Terpaksa tengok kat ASTRO First... :p
Truthfully, saya tak tahu kenapa banyak rebiu yang menghentam filem ni. Tak faham atau tak nak faham? Mungkin juga kerana tiada 'nama-nama komersil' dalam penggerak utamanya? (sorry... termuntah sikit dalam mulut)
Sesuatu yang berani dan ikhlas dari Raja Azmi sementara arahan pertama yang berjaya oleh Khir Rahman. Keep it up...
ps. Cameo Khir keluar dari toilet buat aku tergelak dalam scene yang aku sangat benci pada Ghaus... :)
Orang kurang minat filem ni sebab filem ini bosan...untuk penggemar filem aksi dan penonton yang jarang menonton filem2 slow seperti ini...taxy driver juga slow, tapi ada isi...this anu dalam botol film isn't good at all...3 from 5...
Post a Comment