Kenapa kembali ke cerita ini? ~ That Movie Blogger Fella

Tuesday, June 26, 2012

Kenapa kembali ke cerita ini?

Jalan Kembali: Bohsia 2
My rating:




Sudah agak lama saya menunggu filem ini. Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam merupakan filem Melayu pertama yang saya rebiu di blog ini. (Jujur kata, kerut muka saya bila membaca catatan itu. Tulisan TMBF mentah lagi masa tu.) Bila saya dengar Syamsul Yusof sedang membikin sekuelnya, saya tahu saya perlu menonton dan mengulas sekuel itu juga. Tetapi penungguan saya tidaklah dengan penuh harapan bahawa ia mungkin sebuah filem yang bagus, sebab filem terdahulunya pun memang taik. Apa kemungkinan sekuel ini dapat memperbaiki hasil kerja Syamsul dari tiga tahun lalu?

Malangnya, kemungkinan itu adalah sifar.

Amy (Salina Saibi) yang telah membunuh ayah yang merogolnya kini berada di sebuah pusat pemulihan akhlak. Tetapi Mus (Syamsul Yusof) masih merempit dan menyertai perlumbaan haram bersama rakannya Ejan (Zizan Razak); dan Tasha (Nabila Huda) kini menjadi teman kepada Keting (Soffi Jikan), seorang lagi pelumba haram, perompak dan pengedar dadah. Kerana tidak tahan didera oleh Kak Rock (Maimunah Ahmad), seorang lagi penghuni pusat tersebut, Amy kembali ke KL dan bertemu semula dengan Mus dan Tasha. Apabila Tasha ingin mengubah cara hidupnya dan kembali tinggal bersama ibu saudaranya (Delimawati), Amy dan Mus cuba membantu - tetapi Keting takkan biarkannya begitu sahaja.

Daripada trailernya, saya sangka filem ini akan menunjukkan watak-watak dari Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam sedar akan cara hidup mereka dahulu, ingin menebus dosa-dosa mereka dan berjaya hidup dengan aman dan bahagia. Tapi sebenarnya tidak. Hanya Amy sahaja yang telah mengubah dirinya selepas kejadian dalam filem itu; Mus dan Tasha masih sama saja. (Watak Acai yang dilakonkan oleh Shaheizy Sam pula tidak muncul. Mungkin dia terbunuh dalam pergaduhan yang mengakhiri cerita itu - tapi kalau ya, Mus yang membunuhnya takkan cepat sangat keluar penjara?) Maka filem ini lebih kurang sama sahaja dengan predecessornya: sebuah cerita dimana perkara yang amat buruk berlaku kepada watak-watak yang amat keji.

Mungkin Amy yang menjadi pengecualiannya, kerana dia sudah taubat dan alim sekarang. Tapi subplotnya semasa di pusat pemulihan akhlak tu cukup menjengkelkan dan menguji kesabaran. Amy didera oleh Kak Rock dengan sungguh kejam dan ganas, tetapi tiada siapa yang menghalangnya atau memberi hukuman. Pusat pemulihan akhlak mana yang haprak ni?? Langsung tidak mendisiplinkan pelajar-pelajarnya. Sampai berlaku pergaduhan di tengah kelas agama pun, ustazah itu hanya mampu berkepak-kepak tangan dengan rimas. Malah Amy dirogol oleh Kak Rock dengan menggunakan berus tandas pun, entah mengapa Amy tak nak laporkan kepada pengetua (mungkin sebab dia tau pengetua tu tak guna). Oh ya, ini sebuah filem yang mengandungi adegan perempuan rogol perempuan guna berus tandas. Pertama di dunia! Produk buatan Malaysia! Bangga tak kau, Syamsul Yusof, dengan ilham kau tu?

Babak rempit dan bohsia pula hanya mengulangi benda yang sama dari filem pertama. Acai diganti oleh watak Keting lakonan Soffi Jikan yang bukan sekadar over the top; kalau topnya setinggi menara KLCC, tahap overnya berada di angkasa lepas. Sudah pasti inilah lakonan yang paling dahsyat dan men-WTF-kan dalam filem tempatan tahun ini. Nampak jelas Keting ni adalah kitaran semula watak Ajib dari KL Gangster, tapi kali ini Soffi telah pusing tombol sampai 11. Polisi mesra alam ini juga dilihat dalam watak Ejan lakonan Zizan Razak yang sudah kita lihat dalam watak Fadil dari KL Gangster (tapi sebenarnya, semua watak lakonan Zizan pun sama). Ejan tu amat entahapentah, langsung tiada kaitan dengan plot tunjang. Dia cuma muncul dalam beberapa babak bersama seorang bomoh bangang lakonan Harun Salim Bachik dan seorang bangang biasa lakonan Kazarudin Saisi sambil menampilkan lawak yang bangang.

Saya tak tahu ini filem jenis apa sebenarnya. Komedi ke, aksi ke, drama ke, semua ada tapi bercanggah. Penonton boleh mengalami kecederaan piat akibat genre yang asyik bertukar-tukar. Ada lawak ringan, tapi ada adegan rogol. Ada aksi lumba jalan, tapi ada ajaran Islam. KeIslamannya pula jenis yang murah dan tidak meyakinkan; Mus yang sepanjang cerita ini seronok merempit dan berlumba haram, tiba-tiba insaf dan mula bercakap macam pegawai JAKIM - siap dengan panggilan "air setan" bagi arak. Kau ingat orang percaya ke, wahai Tuan Pengarah Syamsul? Kau ingat pemuda-pemudi yang tengok filem ni akan benar-benar taubat dan kembali kepada Allah? Kau kelentong orang lain sajalah, TMBF tak sudi. Kau cuma nak watak yang kau lakonkan jadi hero macho dalam babak akhir, datang menyelamatkan gadis yang tidak berdaya. (Dan baidewei, kenapa wanita dalam filem-filem kau semuanya tidak berdaya dan perlu diselamatkan oleh lelaki? Kenapa kau tak hormat kaum hawa, En. Syamsul?)

Hakikatnya ini sebuah filem talam dua muka; mengagungkan budaya rempit yang seronok dan mengujakan kepada penonton sambil berpura-pura menjadi filem yang mendakwahkan agama. Saya tak tahu mengapa Syamsul mahu membikin filem ini; saya sangka beliau seorang yang berani mencuba benda baru, memandang rekodnya menghasilkan filem aksi lumba, seram, aksi gangster dan komedi romantik. Tapi Jalan Kembali: Bohsia 2 - sekuel kepada sebuah filem dari 3 tahun lalu yang bukannya bagus sangat dan bukannya berjaya sangat - jelas merupakan langkah mundur bagi beliau. Bagaikan tiada apa-apa yang dipelajarinya dan diperbaikinya selama empat tahun mengarah filem. Yang baru dan diperbaharui hanyalah adegan rogol berus tandas tu.

NEXT REVIEW: Abraham Lincoln: Vampire Hunter
Expectations: could be good cheese or bad cheese, but definitely cheese

5 comments:

Latt said...

ini filem review ke?

TMBF said...

@Latt: Kurang jelas ke?

Unknown said...

Well said. What a travesty.

skulluv said...

semua watak menjerit je.

Lord Mark said...

Are you tired of being human, having talented brain turning to a vampire in a good posture in ten minutes, Do you want to have power and influence over others, To be charming and desirable, To have wealth, health, without delaying in a good human posture and becoming an immortal? If yes, these your chance. It's a world of vampire where life get easier,We have made so many persons vampires and have turned them rich, You will assured long life and prosperity, You shall be made to be very sensitive to mental alertness, Stronger and also very fast, You will not be restricted to walking at night only even at the very middle of broad day light you will be made to walk, This is an opportunity to have the human vampire virus to perform in a good posture. If you are interested contact us on Vampirelord7878@gmail.com