Hoore! Hoore!
My rating:
TMBF dah nak givap dengan mengulas setiap filem tempatan yang keluar di panggung. Dulu boleh, tapi sekarang makin susah - tambahan pula kini bukan hanya satu tapi dua filem tempatan keluar setiap minggu. (Tak hairan kalau kebanyakannya dari kilang filem Metrowealth, yang pernah cakap nak tingkatkan produktiviti tapi senyap tentang kualiti.) Jangan salah faham, saya tetap akan cuba sebaik mungkin untuk menonton dan merebiu filem Melayu, tetapi mungkin hanya pilih yang menarik perhatian saya sahaja. Filem Hoore! Hoore! berjaya menarik perhatian saya, kerana filem muzikal yang menggunakan lagu-lagu klasik nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad nyata sesuatu yang berbeza dari filem-filem Melayu biasa.
Beza memang ada, dan ini antara kekuatannya. Tetapi kelemahan dan kekurangan juga ada.
Nurul Aiman (Nurfarah Nazirah), atau lebih dikenali sebagai Iman, adalah seorang gadis remaja yang sering dipersendakan kerana tubuhnya yang gempal - terutamanya oleh alpha bitch di sekolahnya iaitu Rita (Kilafairy), malah juga dari kawan-kawan Iman iaitu Lana (Shana Razman) dan Azadan (Afi Yamin). Iman amat disayangi oleh ibubapanya (Harun Salim Bachik dan Adibah Noor) dan juga neneknya (Fauziah Nawi) yang pernah menjadi ratu cantik zaman '60an. Neneknya mendorong Iman supaya menyertai pertanding Ratu Idola yang juga ditanding oleh Rita bagi membina keyakinan dirinya - walaupun ibu Iman kurang senang dengan pertandingan ratu cantik sebegitu. Iman juga dibantu oleh Johari (Akim), ketua pengawas sekolahnya yang menjadi jejaka idaman semua gadis, tapi sebenarnya menyimpan perasaan terhadap Iman; namun Johari juga menghadapi tentangan dari bapanya Cikgu Mursyid (Shahronizam Noor).
Banyak yang saya suka tentang filem ini. Saya suka dialog tulisan Shariman Wahab bersama pengarah Saw Teong Hin yang kerap bijak dan kelakar. ("Moto tu mak kau ke aku mak kau?") Saya suka lakonan yang hampir flawless, terutamanya dari pelakon veteran seperti Fauziah Nawi, Harun Salim Bachik dan Adibah Noor manakala bakat baru seperti Nurfarah Nazirah dan Akim juga berkesan. Saya suka paparan hubungan antara watak-watak yang berkonflik, namun penuh kasih sayang. Saya suka ia sebuah cerita orang muda lawan orang tua yang memihak kepada orang muda. Dan saya suka tema ceritanya, iaitu kebaikan tidak mengenal rupa dan hati yang murni lebih penting dari pandangan orang, semuanya berlandaskan pandangan dari seri agama Islam yang lebih terbuka dan bukan hanya melarang-larang. Semua ini amat baru dan segar bagi filem Melayu, dan ianya ubat penawar yang mujarab kepada filem-filem lain yang kononnya Islam sangat.
Tapi sebagai sebuah muzikal, ia kurang memuaskan. Berbanding filem Mamma Mia! (yang mengadaptasikan pementasan Broadway) dimana ceritanya dibina berdasarkan lirik lagu-lagu ABBA, plot Hoore! Hoore! tidak berkaitan dengan lagu-lagu Allahyarham Sudirman yang dipilih. Adegan muzikal dalam filem muzikal perlu diintegrasikan dengan cerita, supaya muzik dan liriknyalah yang menjadi penggerak cerita - tapi disini, walaupun lagunya sedap, tapi kesannya ibarat garam yang ditambah, bukan ramuan utama. Bagi saya - yang jujur kata, bukan minat sangat genre muzikal - kelemahan yang paling besar adalah dari segi penceritaan. Watak-watak tidak dibina dengan teliti dan konflik antara mereka kabur; akibatnya, yang mengecam dan melarang penyertaan Iman dalam Ratu Idola pada mula-mula, tiba-tiba ubah pendirian tanpa sebab yang jelas.
Disini saya terpaksa membandingkan filem ini dengan filem Hairspray (yang pernah difilemkan dua kali - satu tahun 1988, satu lagi remake tahun 2007). Dalam filem itu, bakat yang ditonjolkan oleh heroinnya Tracy Turnblad ialah tarian, bukan ratu cantik; Tracy juga seorang yang penuh keyakinan diri dari mula, bukan pemalu. Perubahan ini melemahkan Hoore! Hoore! kerana kita boleh lihat sendiri kebolehan Tracy menari, jadi kita faham bagaimana dia boleh menjadi popular walaupun gemuk. Iman pula segan dan kekok, jadi popularitinya sebagai petanding ratu cantik sukar dipercayai. Masalah utamanya ialah ini menjejaskan mesejnya tentang gadis gemuk yang ingin membuktikan diri - kerana apa sebenarnya yang Iman nak buktikan? Apa sebenarnya kejayaan yang dicapainya? Saw dan Shariman seolah-olah takut hendak menjadikan Iman terlalu berani atau kasar, dan akibatnya mesej ini kurang bergigi.
Yang saya ingin lihat dari filem ini ialah gigi. Contohnya babak awal dimana Iman bergaduh dengan Rita selepas Rita memperlinya; lagi sedap kalau Iman memberi satu penumbuk ke hidung Rita dengan bunyi dusshhh! yang kuat. Watak nenek Iman lakonan Fauziah Nawi memang hebat, tapi lagi hebat jika dia ada semasa Rita dengan entourage-nya menyindir Iman lagi; bolehlah dia balas balik dengan sindiran yang lagi power. Dan kan lagi syok kalau persembahan Iman di pusingan akhir pertandingan itu ialah babak tarian dan nyanyian yang rancak dan bertenaga? Ini kan filem muzikal. Ini kan filem girl power, ke tidak? Kalau ada babak-babak macam ni, baru lagi seronok.
Tapi saya agak suka jugaklah filem ini. Nyata ia sesuatu yang baru dan segar, serta menunjukkan pendirian yang amat ingin saya lihat dalam filem tempatan. Filem seperti inilah yang perlu diperbanyakkan lagi di panggung wayang kita - bukan hanya kerana ia memberi ajaran yang sihat dan berharga kepada penonton, khususnya penonton muda dan remaja yang disasarkan. Juga kerana lagi banyak filem seperti ini yang dibikin, lagi mahirlah pembikin-pembikin filem tempatan mengolah dan menggarap cerita sebegini supaya kelemahan yang ada disini dapat diperbaiki.
NEXT REVIEW: Snow White and the Huntsman
Expectations: hoping K-Stew isn't as bad as they say
Thursday, June 7, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment