Mari kita <i>twist</i> sekali lagi ~ That Movie Blogger Fella

Monday, September 3, 2012

Mari kita twist sekali lagi

SAM
My rating:




Sempat juga TMBF menonton filem ini. Ia mula tayang hampir 3 minggu yang lalu, dan saya pula dah tak larat nak mengulas setiap filem tempatan yang keluar di panggung. (Saya pasti hidup saya tidak berkurangan kerana tidak menonton Seram Sejuk.) Banyak pula filem Hollywood yang belum saya tonton lagi. Tetapi filem SAM ini menarik minat saya, kerana genre psychological thriller ini jarang saya nampak dalam filem tempatan... malah, tak pernah saya menonton sebuah cerita ngeri psikologi buatan tempatan. Jadi nasib baiklah ia masih sedang ditayang sehingga minggu ketiga - walaupun menurut berita, kutipannya tidak begitu memberangsangkan.

Tapi ia sepatutnya lebih berjaya, kerana ia filem yang bagus.

Sam (Shaheizy Sam) adalah seorang pengurus tahap pertengahan di sebuah syarikat, yang ghairah bercinta dengan rakan sekerjanya Lisa (Lisa Surihani). Tetapi percintaan mereka menimbulkan rasa cemburu dikalangan pekerja-pekerja lain; ini termasuk pekerja baru Jeff (Syamsul Yusof) yang dulu menjadi teman lelaki Lisa, tapi yang lebih mengerikan ialah Haikal (Azad Jasmin) yang tidak stabil mentalnya dan sering mengganggu Lisa secara creepy stalker tahap dewa. Pada malam dimana Sam berniat untuk melamar Lisa, mereka berdua diculik dan dikurung didalam sebuah kilang lama serta diseksa dengan kejam... tetapi oleh siapa, dan untuk matlamat apa?

Poster sudah tertera ayat "dari pengarah termuda Malaysia", kerana Syafiq Yusof - anak kepada Yusof Haslam dan adik kepada Syamsul - berumur 18 tahun semasa membikinnya. Tak kira tua atau muda, yang jelas ialah filem ini merupakan sebuah debiu yang sungguh mengasyikkan. Separuh kedua cerita ini kuat dengan saspens Sam diburu dan didera oleh penculik misterinya, diolah dengan sudut kamera yang handal dan berkesan. Yang paling mengesankan ialah penggunaan elat kamera yang bermain-main dengan realiti, termasuk sebuah syot time-slice ala The Matrix yang cukup mengkagumkan. Ini sesuatu yang belum pernah saya lihat dalam filem tempatan, malah saya rasa belum pernah dicuba dalam filem tempatan. Keberanian Syafiq mencuba teknik-teknik ini patut dipuji, lebih-lebih lagi sedangkan beliau masih berusia remaja. Biar pembikin-pembikin filem lain yang lebih dua kali ganda usianya rasa malu sikit.

Namun demikian, kelemahan paling utama dalam filem tempatan ialah dalam penceritaan, dan filem ini tidak terlepas. Separuh keduanya bagus, tetapi separuh pertamanya menguji kesabaran. Satu adegan montaj berlagu yang menunjukkan percintaan Sam dan Lisa sudah mencukupi, tapi kita disajikan dengan dua. Dua-duanya pun cukup menimbulkan rasa geli dan mual, apatah lagi yang pertama berlaku dalam ofis. Tak hairanlah ramai rakan sekerja selalu mengumpat tentang mereka berdua; macam mana nak tumpukan perhatian pada kerja kalau mamat dan minah ni asyik berfoya-foya ditetengah pejabat? Tak profesional langsung! Tak sampai rasa simpati saya terhadap Sam dan Lisa jika begini kelakuan mereka. Apatah lagi kita dipaksa tunggu lama sebelum mereka diculik, dimana saat itulah cerita ini benar-benar bermula.

Plot twist-nya pula saya sudah boleh ramal, kerana ia kerap digunakan dalam filem genre ini. Namun saya terus menonton kerana saya ingin lihat bagaimana Syafiq, serta penulis skripnya Salleh Mokhti, mengolahnya. Malangnya, saya rasa sedikit hampa ketika ia disingkapkan. Ia tiada kena mengena dengan apa-apa yang diceritakan semasa awal filem; tambahan pula, ia memerlukan babak flashback panjang-panjang untuk menjelaskannya. (Disini dapat dilihat Shafimie Saedon sekali lagi melakonkan watak Shaheizy Sam semasa kecil. Macam dua-dua pelakon ni ada package deal.) Ada sebab mengapa teknik flashback ni tidak digalakkan dalam filem: kerana ia menoleh ke masa silam, sedangkan sebuah filem perlu sentiasa bergerak ke hadapan. Terutama filem thriller yang hidup mati atas momentum plotnya. Bagi SAM, momentum itu lesap ketika saat yang sepatutnya paling genting.

Tetapi rating 3-½ bintang sudah saya beri, bermaksud saya rasa filem ini cukup bagus. (TMBF kritik kerana sayang, dowh.) Persembahan Shaheizy Sam mantap dan cukup mencabar bakatnya (tak seperti dalam 8 Jam); beliau tahu bila perlu over-the-top dan bila perlu berlakon secara lebih halus. Chemistry antara beliau dan Lisa Surihani juga cukup menyerlah. Azad Jasmin juga memberi kesan dalam watak sampingannya, dan begitu juga Fimie Don walaupun hanya dalam babak flashback. Sebaliknya, Neelofa yang memainkan peranan Zura rakan serumah Lisa, lakonannya terlalu gedik sampai menjengkelkan. Syamsul Yusof pula... dia ada dalam filem ini.

Oleh kerana plot twist yang tidak wajar dipecah rahsia oleh pengulas filem yang berwibawa, saya akan bincangkannya di bebenang komen catatan ini. Saya sedia memberi pujian kepada filem tempatan yang berani mencuba benda yang baru, dan saya sedia memberi kritikan membina kepada filem dan pembikin filem yang saya hormati. Saudara Syafiq Yusof berhak diberi kehormatan, dek hasil kerja sulungnya yang sudah jauh melangkau filem-filem abangnya. Mungkin abangnyalah - yang juga tak segan mencuba benda baru - yang memberi iktibar. Diharap kedua-dua adik-beradik ini akan menunjuk ajar sesama mereka (dari apa yang saya lihat, adik patut lebih mengajar abang) dan menghasilkan lebih lagi filem-filem yang segar dan baru - apatah lagi filem-filem yang benar-benar hebat.

NEXT REVIEW: The Expendables 2
Expectations: doesn't look much better than the first

2 comments:

TMBF said...

Plot twist yang saya jangkakan ialah, Sam sebenarnya ialah Haikal. Samlah orang yang menghadapi gangguan emosi dan mental sehingga mengidamkan dirinya kekasih Lisa; justeru itu, segala yang kita lihat pada babak awal, segala kisah cintanya dengan Lisa, hanyalah khayalan semata-mata. Haikallah kekasih Lisa sebenarnya, dan segala yang kita lihat Haikal buat - segala perangai gilanya - ialah dari Sam.

Malangnya, Syafiq dan Salleh Mokhti tidak memilih jalan ini. Ramalan saya bahawa Sam menghidapi penyakit personaliti terbelah memang betul, tetapi butir-butirannya salah. Namun saya rasa idea saya lagi bagus. Lain kali nak tak upah saya sebagai konsultan skrip, saudara Syafiq? Saya kasi best punya sama lu.

NKLi G'KaR said...

I tot of the same thing too! Baru menarik sikit.