Sebuah filem yang tidak bermoral ~ That Movie Blogger Fella

Saturday, September 17, 2011

Sebuah filem yang tidak bermoral

Hantu Bonceng
My rating:




Saya sedia mengaku, perasaan saya terhadap filem ini agak berat sebelah. Persaingannya sempena minggu Raya Aidilfitri adalah Karipap-Karipap Cinta yang saya sukai, tetapi filem arahan Othman Hafsham itu sudah kalah teruk kepada filem Ahmad Idham ini dalam kutipan box-office. Saya cukup hampa dengan hakikat ini, dan saya berani mengatakan bahawa Karipap-Karipap Cinta lebih layak berjaya dari Hantu Bonceng. Ahmad Idham pula seorang pembikin filem yang dah berkali-kali saya hentam dalam blog ini. Namun setelah menontonnya, saya faham mengapa Hantu Bonceng mendapat sambutan daripada penonton-penonton tempatan.

Kerana penonton-penonton tempatan semuanya jahil tahap jamban.

Amran (Zizan Razak) seorang mat rempit yang di-"hadiah"-kan seorang gadis (Juliana Evans) setelah memenangi perlumbaan haram. Namun sebelum dia sempat memperkosa menikmati hadiahnya, gadis itu terkorban apabila motosikal Amran dilanggar lori. Amran terselamat, dan dia kembali ke hidup biasanya - bekerja sebagai penghantar pizza, memujuk aweknya Halimaton (Jue Aziz) seorang jururawat, dan berkawan dengan rakan serumahnya Kunyit (Sallehuddin Tai) yang tak kerja dan tak guna. Tetapi kini dia diganggu oleh hantu gadis itu, lalu dia mencari penyelesaian dari seorang ustaz (Cat Farish), yang juga mempunyai seorang adik (Nursyuhaida) yang menawan hati Kunyit. Bagi menebus penglibatannya dalam kematian gadis itu, Amran mencari adik kembar gadis itu bernama Ayu (Juliana Evans) dan menolongnya mencari pekerjaan di kotaraya KL - tetapi makin lama, Amran makin jatuh hati dengan Ayu. Tambahan pula, pesaing ketat Amran di litar lumba haram ialah Dani (Azlan Kami), yang juga merupakan abang Halimaton dan sentiasa cuba menganiayai Amran.

Dari mula lagi, filem ini membuat saya amat-amat marah. Ia menunjukkan dunia gelap mat rempit yang menganggap kesucian wanita sebagai harta yang boleh ditukar-tukar - dan watak yang kononnya hero dalam cerita ini beriya-iya hendak menuntut "habuan"nya dengan angkuh sekali. Gadis yang menjadi trofi kemenangannya pula, digelar bohsia oleh filem ini serta sinopsis rasminya - tetapi sebenarnya dia bukan bohsia. Dia seorang yang naif, lurus dan tidak bersalah atau berdosa; bila dia bertanya "kemana abang nak bawa saya?", ini jelas menunjukkan dia langsung tidak tahu apa yang akan berlaku kepadanya. Dan watak hero pula masih lagi nak menggatal. Wahai Tuan Pengarah dan Penulis Skrip Ahmad Idham, ini bukan maksiat - ini rogol!

Apa yang benar-benar menjijikkan ialah bagaimana Ahmad Idham menggambarkan semua ini sebagai lawak semata-mata. Bukan hanya babak seorang anak dara bakal dirogol, malah juga kematiannya yang dahsyat juga dijadikan bahan ketawa. Pernah nampak tak orang kena golek lori? Ingat kelakarlah tu? Dan selepas kemalangan itu, takde siapa yang mengendahkannya; Amran dibawa ke hospital tapi tidak disoalsiasat oleh polis, dan polis pula tak reti nak mengenalpasti mayat itu. Bebal sangat ke PDRM kita ni? Amran sibuk nak mengorat balik makwenya, Halimaton sibuk nak merajuk dengan pakwenya, Kunyit sibuk nak buat perangai bangang, dan tiada seorang pun yang pedulikan sebuah nyawa yang telah terkorban.

Begitu juga dengan audiens. Semuanya asyik ketawa terbahak-bahak, terutamanya semasa adegan pembukaan dimana Amran baru memenangi perlumbaan haram. Awak tak perasan ke, Ahmad Idham? Adegan ini bukannya mengecam budaya rempit - malah ia memujanya! Jelas sekali para penonton - terutamanya yang lelaki - seronok melihat Amran ni bermegah-megah dengan kemenangannya serta habuannya. Amran yang menjadi watak hero dalam filem ini. Ini ke mesej yang sesuai ditayangkan kepada kaum Melayu sempena Hari Raya Aidilfitri?? Malah ini ke filem yang awak panggil "sesuai untuk seisi keluarga?" Kepala hotak engkau la Ahmad Idham. Apabila kanak-kanak yang menonton filem ini bertanya "Abah, 'bohsia' tu apa? Abang tu nak bawak kakak tu pergi mana?", aku nak kau cuba jawab.

Tetapi saya perlu jujur. Walaupun saya bermuka masam dari awal lagi cerita ini, makin lama makin saya tersenyum - malah tergelak sekali dua dengan jenakanya. Filem ini banyak persamaan dengan Adnan Sempit, komedi arahan Ahmad Idham yang menjadi sleeper hit dulu. Ada kisah cinta antara hero dengan heroin, ada watak sidekick yang juga ada subplot cinta, ada adegan nyanyian ala Hindustan, dan ada jalan cerita yang pada umumnya logik serta lawak yang menjadi. Saya hampir pasti skripnya ditulis oleh penulis Adnan Sempit juga; walaupun kredit bagi kedua-kedua filem itu diberi kepada Ahmad Idham, tapi manalah tahu siapa sebenarnya yang berjasa. (Saya sangka seorang bernama Aranina Zulfra yang menulisnya, tapi itu silap - nampaknya orang ini tidak wujud, kerana tak jumpa pun namanya dengan Google.)

Ada beberapa benda yang saya suka tentang filem ini. Saya suka apabila Kunyit memberi nasihat yang baik dan ikhlas kepada Amran. Saya suka watak awek Kunyit yang dimainkan oleh Nursyuhaida, watak kecil yang ada otak, ada harga diri dan ada semangat. Saya suka pemilihan Juliana Evans sebagai gadis yang menggoda Amran, kerana dia lebih lawa dari Jue Aziz. Saya suka pelakon jambu Eizlan Yusof sebagai bomoh sengal dan Cat Farish sebagai ustaz yang baik hati (satu-satunya watak lakonan Cat Farish yang tidak menjengkelkan). Dan saya sanggup pertahankan filem ini dari tuduhan ianya menghina agama Islam. Ia tidak menghina; ia cuma mendekati isu agama dengan tidak serius. Ini kan komedi ringan, takkan ia tiba-tiba nak bertukar jadi khutbah Jumaat. (Blog Beautiful Nara tu pun lagi satu. Sorang je yang terasa tersinggung dengan filem ini, tapi awak yang buat heboh. Haritu tak cukup berita ke?)

Namun begitu, oleh kerana keinsafan Amran juga dilihat sebagai tidak serius, menyebabkan dosanya semasa mula-mula - samalah dengan dosa filem ini - tidak ditebus. Dia akhirnya insaf, tetapi apa sebenarnya yang dia insafkan? Insaf hanya sebab nak hentikan gangguan hantu dan pujuk kembali gerpren dia? Itu panggil ikhlas ke? Dia tak kesal dengan kematian seorang gadis yang tidak bersalah, dan dia tak sedar pun yang dia bertanggungjawab atas kematiannya. Dan saya dapat rasa filem ini, serta pengarah dan penulis skripnya, juga berpendapat bahawa Amran tidak bersalah - ataupun dia berpendapat bahawa kesalahannya sesuatu yang tidak serius. Watak perogol yang menyebabkan kematian orang dijadikan bahan ketawa - malah dijadikan hero.

Beginilah pegangan moral filem ini, dan ianya pegangan yang saya tidak setujui sama sekali. Saya mahu menyukai filem ini sebenarnya. Saya rasa lawak dan jalan ceritanya efektif, malah lebih baik daripada Adnan Sempit. Tetapi ia bermula dengan lawak yang kurang ajar, dan berterusan dengan hiburan yang berkesan tetapi tidak sedar akan siratan ceritanya yang durjana. Inilah sebenarnya filem yang membawa pengaruh buruk kepada anak-anak muda - filem dimana nilai hiburannya berjaya memaniskan ajaran yang keji dan celaka. Baik saya tamatkan saja rebiu saya disini (sebab saya sudah mengambil masa yang lama untuk menulisnya); saya sudah berputus hendak memberi 2-½ bintang, tapi makin lama saya fikirkan filem ini, makin saya nak rendahkan lagi rating saya.

NEXT REVIEW: Contagion
Expectations: not Outbreak 2, that's for sure

10 comments:

hzrhkamal said...

Aspek lakonan tidak disentuh dalam ulasan ini?

fadz said...

haha, bantai betul.. tapi ya, agak bias.. setuju dgn poin filem ni agak goncang moralnya.. bila anak buah saya tanya apa tu malam pertama tujuh kali, saya pun tak boleh jawab dan terdiam lama.. yeap, filem ni tak boleh jadi filem utk seisi keluarga..

TMBF said...

@Hazirah Mustaffa Kamal: Nursyuhaidah has a very cute smile. Setakat itu saja yang boleh dikatakan tentang lakonan dalam filem ini.

idysur tagem said...

dapat saya simpulkan di sini bahawa ahmad idham jenis pengarah yang direct to the point,tak tau nak mengolah cerita menjadi lebih cantik dan tak kisah akan subplot yang boleh menguatkan ceritanya.objektifnya hanya satu,membuat satu filem yang orang boleh tonton tanpa menggunakan otak.

kepada encik ahmad idham,
tolong berhenti buat filem.anda dah terlalu kaya.lebih baik bagi fund untuk pengarah-pengarah yang lebih baik dari anda.

Hady Abd Hamid said...

jujurnya TMBF, saya rasa macam nak bagi movie ni 3bintang, tapi lepas baca reviu anda, baru saya sedar apa yang saya terlepas. benar kata anda, movie ini memang tidak bermoral. betapa malunya kita dipengaruhi movie yang sebegini. mungkin sebab saya menontonnya dengan emak, jadi saya tak nampak sangat kekurangan moral dalam movie ini. apa yang saya rasa, hanyalah hendak gelak ketawa. watak2 dalam movie ini memang menarik, tetapi benar, intipati movie ini sangat membebalkan pemikiran penonton2 yang lain.

nice reviu, terasa sekejap diri ini jahil, tapi dah realise, its not our fault...its his fault, that Ahmad Idham guy! huhu...thanks bro.

TMBF said...

@idysur tagem: Saya rasa tak salah kalau nak bikin filem yang orang boleh tonton tanpa menggunakan otak. Yang salah ialah mengolah filem tersebut tanpa menggunakan otak. No matter how undiscerning your audience, if you think you deserve to speak to millions of them, you need to be smarter than them.

. said...

I am waiting for your review on Nasi Lemak 2.0. Hope you can get it done!

Amyz! said...

nak like this review. thanks!!

Miszdiana said...

ha ah laa betul...

PerangFilem said...

Bole la...setakat berhibur.