Filem <i>kampung gothic</i> yang segar tapi gagal ~ That Movie Blogger Fella

Sunday, November 6, 2011

Filem kampung gothic yang segar tapi gagal

Sumpahan Puaka
My rating:




Ingat lagi TMBF mengadu pasal filem Melayu yang ketandusan idea, asyik-asyik filem seram, gangster dan rempit je? Disini ada sebuah filem yang benar-benar segar, yang cuba mencipta sebuah genre baru - genre yang akan saya gelar kampung gothic. Gothic adalah genre yang menekankan nada dan suasana yang gelap, dan cerita yang mempunyai unsur hantu, tragedi, keluarga runtuh, ketidaksiuman dan rahsia lama yang dahsyat. Filem Sumpahan Puaka melatarkan kampung pedalaman yang melarat, yang amat ngam bila dipadankan dengan cerita gothik. Inilah idea hebat dari pengarah M. Suurya dan penulis skrip M. Subash, idea yang saya berani kata belum pernah dicuba sebelum ini.

Malangnya, walau bagaimana berani cubaan mereka, ia tetap cubaan yang gagal.

Shamsudin (Imuda) seorang pelukis yang datang ke Kampung Sepat untuk mencari ilham untuk melukis. Dia menyewa bilik dari seorang penduduk kampung bernama Tijah (Mislina Mustaffa) yang melayan ibunya Mak Jah (Maimon Mutalib) dengan sungguh kejam, sehingga Shamsudin mengasihani Mak Jah dan memberinya tinggal bersama didalam biliknya. Namun bukan itu sahaja masalah rumahtangga di Kampung Sepat ini. Ros (Rozita Rohaizad) didera dan dilacurkan oleh suaminya (Ery Zukhairy). Seorang pemuda (Syafiq Rosli) sering bertengkar dengan pakciknya dan menunjukkan ciri-ciri piromania. Dan ada seorang India terencat akal yang suka jalan sini jalan sana sambil membawa sebotol racun perosak.

Ini bukan filem yang baik. Ini bukan filem yang menghiburkan mahupun menyeronokkan (dari segi ia filem seram yang memberi kejutan yang seronok). Malah ini sebuah filem yang mendatangkan rasa kecewa, tidak puas dan frustrating. Maklumlah ia pasti rugi di box-office; masa saya menontonnya ialah pertama kali saya duduk seorang dalam satu panggung. Namun begitu, saya rasa ini sebuah filem yang tidak patut diketepikan begitu sahaja. Saya dapat lihat apa yang ia tujukan, tapi saya juga dapat lihat dimana ia tersimpang.

Dua orang harus dipuji dalam filem. Pertama ialah Mislina Mustaffa yang memainkan watak femme fatale - menjadikan ini juga sebuah filem noir dimana seorang perempuan menggoda seorang lelaki menjadi mangsanya. (Filem gothik pula biasanya ada watak anak dara muda yang menjadi mangsa.) Lakonan Mislina memang hebat dan berdimensi, menjadikan watak Tijah seorang yang keji dan lancang tapi masih boleh menimbulkan rasa simpati. Kedua ialah Lesly Leon Lee, pengarah fotografi yang menangkap suasana kampung yang lecah dan usang ini. Syot-syotnya menggambarkan keindahan dalam keburukan kampung ini, dan hasil kerjanyalah yang benar-benar menjadikan ini sebuah filem kampung gothic yang memang istimewa dalam filem tempatan.

Sayangnya, mereka berdua sahaja yang berjaya melaksanakan apa yang ditujui. Skrip karangan M. Subash sungguh amatur, penuh dengan dialog atas hidung dan subplot yang tidak menentu. Kegothikan filem ini ada pada kisah penduduk-penduduk kampung ini yang penuh kesengsaraan dan penderitaan, dan kesemua hubung kaitnya disingkap ketika twist ending. Tetapi yang tertinggal ialah subplot tentang watak Ros dan suami penderanya (yang juga asyik-asyik bermain silat) yang langsung tiada kesudahan atau tujuan. Sebenarnya kesudahan filem ini juga cuba mengikut genre gothik dimana ceritanya seolah-olah sebuah mimpi yang gelap dan bermisteri - tetapi silap Subash ialah, untuk menjayakan rasa "kemimpian" ini, skrip sepatutnya berfokus ketat pada watak protagonis. Segala-gala dilihat dari mata dia; tiada adegan yang dia tak ada. Baru penonton dapat rasa cerita ini bagaikan mimpinya.

Ini membawa kita kepada Imuda serta M. Suurya. Sudah lama saya tak nampak Imuda diatas skrin, samada TV atau layar perak. Dia dikenali sebagai pelakon komedi, dan malangnya, dia membawa gaya lakonan komedi ke filem ini yang langsung tidak sesuai dengan ceritanya. Begitu juga Suurya yang tidak tahu bagaimana nak mengarah Imuda. Arahannya cuba membangkit rasa gothik dan kemimpian, tetapi hampa kerana kekurangan bajet. Adegan klimaktiknya ada rumah terbakar, tetapi menampakkan efek api CGI yang amat cheesy. Suurya juga cuba melengahkan pacing ceritanya dengan babak-babak yang bergerak perlahan, tetapi beliau tiada pengalaman membikin filem seni seperti Ho Yuhang atau Khir Rahman - dan sebenarnya, skrip Subash juga tidak membantu kerana tidak cukup berisi. Jangkamasa filem ini hanya 80 minit, tapi masih nak penuhkan masa dengan flashback memanjang yang mengulang semula apa yang sudah dilihat. Nilah yang paling saya rasa jengkel dengan filem tempatan.

Saya pasti ada penonton-penonton yang sudah menonton filem ini dan mendapatinya amat mengecewakan; malah mungkin mereka sudah membelasahinya kepada kengkawan dan blog mengatakan filem Sumpahan Puaka ini tersangat-sangat tak best. Saya tak salahkan mereka kerana menjangka filem seram yang seronok, dan saya juga tak salahkan mereka kerana kurang faham apa yang ia mencuba. (Genre filem gothik ni bukannya popular sangat walaupun di negara barat.) Tetapi kepada peminat filem tegar dan susah mati, saya syorkan agar jangan lepaskan peluang jika filem ini ditayangkan di kaca TV. Jangan harapkan sebuah filem yang menghiburkan - kerana ia betul-betul gagal memberi hiburan - tapi cuba hayati sebuah genre baru bergelar kampung gothic yang belum pernah anda lihat sebelum ini.

NEXT REVIEW: In Time
Expectations: yay Andrew Niccol!

0 comments: