Yang sesat disini ialah Imran Ismail ~ That Movie Blogger Fella

Sunday, November 27, 2011

Yang sesat disini ialah Imran Ismail

Abuya part II
My rating:




Adakah Imran Haji Ismail pembikin filem yang paling misoginis di Malaysia? Kemungkinannya besar. Kedua-dua filem awalnya, Jalang dan 2 Alam menampakkan pandangan yang amat kejam dan bengis terhadap kaum wanita, memang layak kena bantai dalam rebiu saya. Tapi lelaki yang misoginis ni, sebenarnya membenci wanita tetapi juga menafsukan wanita. Jadi tak hairanlah bila saya lihat trailer untuk Abuya, filem terbarunya, yang menunjukkan adegan seksi dengan dua watak perempuan tengah mandi berkemban sambil melakukan teh lezbo. Saya taklah syok sangat dengan adegan ini, sebab saya dah jangka ia takkanlah seksi sesangat - ni kan Malaysia. Yang saya curiga ialah bagaimana Encik Imran nak menghina kaum wanita kali ini.

Hina memang ada. Tapi yang paling melaknatkan filem ini ialah keburukannya yang buruk seburuk-buruknya.

Abu Zakaria atau Abuya (Faizal Hussein) ialah ketua sebuah kultus ajaran sesat yang memujanya sebagai Khalifah. Dia mempunyai empat isteri iaitu Rabiah (Suhaillah Salam) yang setia dan alim, Sonia (Genna Alif) yang dari Turki, Adawiyah (Adrea Abdullah) yang dari Siam dan gedik nak mampus, dan Suraya (Jue Aziz) yang menghidapi penyakit nimfomania. Pengikut-pengikutnya yang setia termasuk Akob (Khir Mohd Noor), Alias (Yank Kassim) dan Husin (Ary Muhammad) yang sebenarnya tak berapa jelas kesetiaannya. Mereka sedang mengumpul senjata dalam persediaan untuk mengisytiharkan perang keatas peminat-peminat filem yang berkualiti.

Saya seronok membaca ulasan filem ini dari blog PerangFilem, Rollo de Pelicula dan Orang Perlis Menulis. Ketiga-tiganya cukup tajam dan tepat tentang segala kegagalan filem ini (cuma saya rasa mereka terlalu lemah lembut dengan Imran Ismail), jadi saya syorkan anda sila klik dan baca. Tapi memandangkan kini giliran saya pula untuk jadi pengulas, kenalah saya pilih sudut pandangan yang lain dari mereka. Disini saya akan cuba rebiu format baru, iaitu menyenaraikan segala dosa yang telah dilakukan oleh Imran Ismail dengan filem ini. Sememangnya filem ini banyak berdosa yang tidak boleh diampunkan.

Dosa Mencuri: Dari saat permulaan lagi filem ini sudah menyerlahkan ketaikannya. Muzik diciplak bulat-bulat dari hasil kerja Dougie Maclean buat filem 1992 The Last of the Mohicans, yang merupakan antara muzik filem yang paling terkenal. Muzik ini asyik berulang pulak tu, membuat saya lebih marah setiap kali. Dahlah tak malu, tapi entahlah apa kaitan cerita tentang pemimpin kultus di Malaysia dengan irama Celtic dari filem tentang perang revolusi Amerika.

Dosa Tidak Amanah: Sebenarnya ini pertama kali Imran menduduki kerusi pengarah; dia cuma penulis skrip bagi Jalang dan 2 Alam. Yang dua-duanya juga filem dimana arahannya tersangat teruk, jadi saya tak tahu samada Imran diberi ajaran sesat dari Nazir Jamaluddin dan Zarith Lokman ataupun dia memang bangang secara semulajadi. Nilai produksinya tahap sampah. Kamera sering keluar fokus, serta runut bunyi yang betul-betul haprak. Serius, ini adalah penataan bunyi yang paling teruk pernah saya dengar dalam sebuah filem tahun ini. Imran selaku pengarah yang meletak "An Imran Haji Ismail Film" besar-besar atas skrin macam filem ni dia sorang je yang cipta, kalau dia bagi lulus tahap kualiti ini, membuktikan dia langsung tak pentingkan kualiti. Kalau filem ini ibarat sebuah bangunan yang direka oleh Imran, pasti tak sampai setahun dah runtuh dan semua penghuninya mati.

Dosa Menghina: Yang dihina sini ialah audiens. Bukan sahaja mutu teknikalnya yang teruk, penceritaannya juga dah rosak sehabis-habisnya. Plotnya tiada logik, tiada punca dan akibat, tiada hubungan antara satu babak dengan babak yang lain. Ada seorang watak polis yang ditangkap oleh puak Abuya dan dibunuh secara rejam - tetapi dalam adegan kemudian, dia hidup kembali! I jenaka you not. Dia kelihatan dalam latar belakang sebuah syot luas sebagai pelakon ekstra. Jelas sekali suntingan filem ini dibuat cincai nak mampus, yang ekor jadi kepala, dan babak yang mungkin dapat menerangkan plotnya dibuang. Apa lagi kalau bukan menghina penonton? Imran ingat anda sanggup membayar RM10-12 ringgit untuk menonton filem yang dibikinnnya macam berak tak cebok, malah menjangka ia dapat memuaskan citarasa anda. Beginilah rendahnya pandangan Imran terhadap anda.

Dosa Menipu: Tahukah anda mana babak yang kena buang? Babak lesbian yang saya sebut diatas. Babak yang ditayang dengan bangganya di trailer serta foto publisiti, sebenarnya tiada dalam filem ini. Apa lagi niat Imran jika bukan hendak menarik penonton dengan babak ini? Tapi jika anda menonton filem ini kerana hendak melihat aksi lesbian antara Jue Aziz dengan Genna Alif, maka anda sudah kena kelentong.

Dosa Syahwat: Tiada adegan lesbian tidak bermaksud tiada adegan seksi. Keseksian dibekalkan oleh Jue Aziz yang cukup berani melakonkan watak isteri Abuya yang ketagihan seks dari suaminya, sehingga dia menggeliat atas katil semasa Abuya sedang berasmara dengan seorang lagi isterinya. Ada juga babak dimana seorang ahli puak perempuan dirogol oleh Yank Kassim dan seterusnya oleh Khir Mohd Noor, serta perempuan murahan yang sekali-sekala dibawa ke markas untuk diraba-raba oleh pengikut Abuya. (Dah saya kata, filem ini tetap ada hina wanita jenama Imran Ismail.) Ini jelas mengeksploitasi wanita bagi tujuan menarik penonton (lelaki) ke panggung. Saya boleh bayangkan air liur meleleh dari mulut Imran ketika penggambaran babak-babak ini - dan kalau babak-babak ini masuk dalam filem sedangkan adegan yang lebih relevan kepada plotnya kena buang, nyatalah apa yang dia pentingkan.

Dosa Munafik: Filem ini bermula dengan ayat Quran, sama seperti Jalang dan 2 Alam. Kononnya berdakwah, nak memberi pengajaran kepada umat Islam supaya memilih jalan yang suci. Ini karut tahap kelakar. Bukan hanya kerana penonjolan seks yang lucah, tetapi juga dalam paparan pemujaan Khalifah Abuya. Banyak adegan memanjang yang menunjukkan pengikut Abuya menjilat lantai ketika datang mengadapnya, serta meminum air yang digunakan untuk mencuci kakinya, dan sekali lagi saya dapat merasa betapa sukanya Imran menggambarkan semua ini. Saya rasa dia sebenarnya beridam nak jadi macam Abuya, dengan empat isteri yang lawa (tiga yang miang, satu yang alim - the best of both worlds!) serta seangkatan pengikut setia yang memujanya bagaikan dewa dan sanggup memukul dan membunuh musuh-musuhnya. Ini bukan cerita amaran - ini fantasi keji seorang yang dangkal dan berminda kecil.

Banyak lagi ketaikan yang belum saya sebut. Arahan Imran yang macam pementasan teater, pelakon sering berdeklamasi menghadap kamera manakala orang yang bercakap dengannya berada di belakang. Dan yang paling fail dan facepalm ialah adegan aksi perang klimaktik, yang terlampau teruk dan lawak bikinannya. (Ini saya boleh puji; filem ini berakhir dengan adegan yang berjaya membuat saya ketawa terbahak-bahak.) Tapi kemudian keluar pula perkataan "Bersambung" atas skrin. Dan memang benar filem ini bertajuk Abuya part II, bagaikan siri filem Star Wars yang bermula dengan Episode IV: A New Hope. Nampaknya Imran mahu menyekuel dan memprekuelkan filem ini - dan ini sesuatu yang tidak boleh dibiarkan berlalu. Saya menggesa semua orang yang beriman dan bermoral supaya membantah pembikinannya. Filem arahan Imran yang seterusnya, Datin Ghairah (haram jadah punya tajuk!) sudah bakal ditayang bulan depan, tetapi Abuya part I, III dan IV masih boleh dicegah. Lakukan apa saja yang perlu. Tubuhkan laman Facebook "Sejuta Rakyat Malaysia Mahu Imran Ismail Berhenti Membikin Filem." Jangan biarkan tragedi ini menimpa dunia perfileman tempatan lagi.

NEXT REVIEW: Aku Bukan Tomboy
Expectations: aku sokong Seksualiti Merdeka, tau...

9 comments:

Hans Hanis said...

hahahahah.....
nih nanti ada abuya part 1 yang tajuk macam siam tu...
yg ada zarina anjoulie lavocah ke nama ntah....
nak tgok ke?
aku dah fobia dah
hahahaha

PerangFilem said...

sudah terbukti...

KhairulZamanKhobin said...

itu bukan filem abuya part 1 wahai Hans.. itu filem lain....

Hans Hanis said...

owh...filem lain ke?
hahahaha....aku ingat prekuel ke apa....xkisah la....aku dah fobia nak tgok...tambah2 ada zarina pula...hahaha..korang tgok nanti aku baca review jer lah :-)

KhairulZamanKhobin said...

kalau x tengok macamne nak review encik hans...

fadz said...

hahaha..best mmg best ulasan ni... hopefully there is soneone will create the fb page..

Hans Hanis said...

OPM : Sebab tu lah aku kata AKU BACA REVIEW JER LAH.....aiyoyo...

PerangFilem said...

hihi.. bukan nak menjatuhkan orang melayu, tp citer sendiri dah mcm tu, ada ber"part2" lak tu. terima kasih je lah.

Alandre said...

I always turn to Vampire any time I want to. I become a Vampire because of how people treat me, this world is a wicked world and not fair to any body. at the snack of my finger things are made happened. am now a Powerful Man and no one step on me without an apology goes free. i turn to Human being also at any time i want to. and am one of the most dreaded Man in my Town. i become a Vampire through the help of my friend who introduce me into a Vampire Kingdom by given me their email. if you want to become a Powerful Vampire kindly contact the Vampire Kingdom on their Email: Vampirelord7878@gmail.com