Ini jentera yang rosak ~ That Movie Blogger Fella

Monday, June 4, 2012

Ini jentera yang rosak

Mantera
My rating:




Filem ini sudahpun menerima kecaman hebat kerana digelar "filem sci-fi pertama di Malaysia." Gelaran ini memang kelentong sepenuh-penuhnya, sebab filem XX Ray arahan Aziz M. Osman pernah keluar tahun 1993. Tetapi sebenarnya gelaran yang dikeluarkan oleh syarikat penerbitan filem Mantera ini ialah "filem sci-fi antarabangsa pertama di Malaysia," so okeylah, betul jugaklah. Orang lain yang sebar berita salah. Tetapi titik jualan yang utamanya ialah aksi robot gergasi ibarat Transformers versi tempatan, yang mengundang pandangan skeptikal dari orang ramai. Boleh ke Malaysia buat filem Transformers sebaik bikinan Michael Bay? Sukar hendak dipercayai. Namun cubalah kita membuka minda, tonton dahulu baru dinilai, berilah peluang kepada pembikin filem tempatan yang bercita-cita tinggi ini. Lagipun filem-filem Transformers tu bukannya hebat sangat.

Dan setelah ditonton, saya nilaikan filem ini sebagai jauh lagi tak hebat.

Ada dua puak yang sering bertelaga, iaitu Alliance of Light dengan Dark Legions, dan sila cuba teka siapa baik siapa jahat. Syarikat Weston Tech di Moscow, Rusia yang berpihak dengan Dark Legions sedang mengerjakan sebuah senjata berteknologi tinggi yang digelar MANTERA. Tetapi penciptanya, Dr. Natasya Pushkin (Kamaliya) telah melarikan diri dari syarikat itu, dan kini sedang giat diburu oleh kuncu-kuncu Sam Weston (Mikhail Dorojkin). Entah bagaimana, MANTERA telah jatuh ke tangan Azman (Tomok Shah Indrawan), seorang pelajar universiti di Kuala Lumpur yang berkawan karib dengan Kevin (Jayson Lee) dan telah jatuh hati dengan Deena (Syiqin Kamal). Sementara mereka cuba menyingkap senjata MANTERA ini - yang merupakan sebuah motosikal Cagiva yang boleh tukar menjadi perisai robot - Azman juga menerima ajaran hidup dan silat daripada lelaki yang tidak bernama yang Azman menggelar sebagai abang (Taj Addin). Namun kedua-dua pihak Alliance of Light dan Dark Legions juga ingin mencari Azman dan mendapatkan MANTERA. Entah mengapa.

Semasa saya menonton filem ini, ada sebuah keluarga bersama dua orang kanak-kanak yang duduk sebaris dengan saya. Saya ada terfikir, memang sesuailah filem ini ditonton oleh kanak-kanak, sebab ada aksi berobot-robot ini. Bolehlah saya perhatikan bagaimana reaksi mereka terhadap filem ini, samada ia mampu menjadi hiburan untuk kanak-kanak. Keputusannya? Masa tengah-tengah filem, mereka berlari-lari dan bermain-main didalam panggung. Sebab filem ini boring gilababi. Wahai Flare Studios dan Spacetoon Media, kamu ingat kami datang tengok filem kamu yang ada robot CGI ni sebab nak tengok Tomok dengan Syiqin Kamal main bowling?? Kamu ingat adegan Tomok dengan Syiqin bercinta di tepi pantailah yang dapat memuaskan citarasa kami?? Ini filem aksi sci-fi ke atau filem Lagenda Budak Setan 2: Tetiba Ada Robot??

Suntingan yang lembam juga menyumbang kepada kebosanan; tak hairanlah jangka masanya 1 jam 55 minit, yang memang terlalu panjang buat filem sebegini (paling sesuai ialah 90 minit). Sebenarnya jika kadar jalan ceritanya lebih cerdas, banyak kelemahan boleh diperbaiki, termasuk kekejuan ceritanya i.e. cheesiness. Mari saya terangkan apa itu cheesy: bermaksud sesuatu benda yang seolah-olah serius, tetapi penonton melihatnya sebagai mengarut. (TMBF tak tau mengapa ia diistilahkan sempena sebuah produk tenusu.) Cheesy yang berkesan ialah yang disengajakan, i.e. kita tidak mengambilnya dengan serius kerana keseriusannya hanya acah-acah je; niatnya memang untuk tidak dianggap serius. Filem ini yang diskripkan oleh Miza Mohamad, Khairul Anuar Md Arif dan Azmer Shazly Norazhar tersangat-sangat ingin diambil dengan serius. Ini mustahil sama sekali dari minit pertama, bila kita dengar je "Alliance of Light" dan "Dark Legions".

Hadooiii. Wahai En. Miza, Khairul dan Azmer - termasuk juga pengarah Mohd Aliyar Alikutthy - kamu bikin filem live-action ke filem kartun? Kalau kartun pun, ini tahap kartun dari dekad '80-an; siri animasi zaman sekarang pun dah jauh lebih sofistikated, dek penonton sudah arif dan pandai menilai. Jadi cerita yang ketinggalan zaman ini akan dilihat sebagai bangang dan menghina kebijaksanaan penonton. Bagaimana MANTERA boleh mengembara dari Moscow hingga ke Kuala Lumpur? Macam mana ia boleh dihantar kepada Azman? Si poyo tu tak pernah soal ke pakej tu datang dari mana dan siapa? Kenapa ada tiga mamat yang buli dia tak tentu pasal? Apa pula yang istimewa sangat tentang robot MANTERA ni? Kenapa orang jahat nakkan ia sesangat, sedangkan mereka juga ada robot perang lain yang nampaknya lagi kuat? Dan apa jenis hero si Azman ni, sedangkan dalam satu babak aksi di lebuhraya, dia rempuh kereta orang yang tidak bersalah sampai penyet?

Ini hasil kerja pembikin yang tidak ikhlas dan tidak bersungguh-sungguh. Ingat ada robot CGI sudah cukup awesome, tapi babak dimana ia beraksi tidak mengujakan dan tidak berkesan. Nak buat babak aksi bukan hanya tunjuk syot yang cool saja! Perlu difilemkan supaya nampak jelas siapa buat apa! Adegan aksinya berselerak dan mengelirukan, dan disini bolehlah ia bangga kerana setaraf dengan Michael Bay. Tapi sebab utama saya katakan ia tidak ikhlas ialah kerana ianya filem antarabangsa, i.e. produksi bersama dengan syarikat penerbit Rusia serta Emiriah Arab Bersatu. Sebab tulah ada voiceover permulaan dalam bahasa Inggeris, pelakon Rusia serta Arab, juga ada adegan yang difilemkan di Dubai yang nampak macam iklan pelancongan. (Ada babak di sebuah pasar yang macam pernah nampak dari filem Nur Kasih: The Movie.) Lihat juga versi poster untuk pasaran Rusia yang terpampang dalam blog rasmi filem ini. Muka siapa yang paling besar dan letak tetengah tu?

Itu Kamaliya, selebriti Rusia yang memegang watak Dr. Natasya Pushkin. (Saya panggil dia "selebriti" bukan "pelakon", kerana beliau sebagai bekas ratu cantik memang jelas tak reti berlakon.) Watak ini menerajui subplot yang langsung tiada kena mengena dengan plot tunjang Azman. Saya rasa filem ini juga ada versi untuk pasaran Rusia yang dipotong supaya Dr. Pushkinlah yang menjadi watak utama, manakala Azman hanya watak kecil. Nyata filem ini bukan kerja seni yang direka oleh seniman yang berintegriti; filem ini hanya produk yang dibuat semata-mata untuk mengaut untung dengan apa cara sekalipun. Tapi semua ini boleh dimaafkan jika hasilnya baik - namun hakikatnya, ia amat teruk. Jadi saya rasa tak perlulah ia diberi pujian atas cita-citanya hendak membikin filem ala Transformers buatan Malaysia. Cita-cita setinggi langit tak guna kalau kebolehan masih di tahap longkang.

NEXT REVIEW: Hoore! Hoore!
Expectations: macam Hairspray versi tempatan je

3 comments:

PerangFilem said...

PF hanya tersenyum saja...

son of the land said...

Dalam sesetengah sinopsis ada bertanya 'mengapa mantera manjadi buruan', yang sepatutnya dijawab dalam filem, tapi nampak gaya dari review ini, tak terjawablah soalan tu... LOL.
The word that came to my mind was corny..

Lord Mark said...

Are you tired of being human, having talented brain turning to a vampire in a good posture in ten minutes, Do you want to have power and influence over others, To be charming and desirable, To have wealth, health, without delaying in a good human posture and becoming an immortal? If yes, these your chance. It's a world of vampire where life get easier,We have made so many persons vampires and have turned them rich, You will assured long life and prosperity, You shall be made to be very sensitive to mental alertness, Stronger and also very fast, You will not be restricted to walking at night only even at the very middle of broad day light you will be made to walk, This is an opportunity to have the human vampire virus to perform in a good posture. If you are interested contact us on Vampirelord7878@gmail.com