Memang dia tomboy, tapi apa salahnya? ~ That Movie Blogger Fella

Wednesday, November 30, 2011

Memang dia tomboy, tapi apa salahnya?

Aku Bukan Tomboy
My rating:




Ya betul, TMBF sokong teh ghey. Saya sokong golongan LGBT (lesbian, gay, bisexual dan transgender), dan saya rasa mereka berhak bersuara dan menegakkan hak mereka. Saya berpendapat jika anda benar-benar bermuhasabah - dan bukan hanya menurut kata orang yang kononnya alim sangat - anda akan sedar bahawa cara hidup ini tidak berdosa dan tidak menyakiti siapa-siapa. Saya rasa jika anda benar-benar matang dan mempunyai belas kasihan, anda perlu mempertahankan golongan yang cara hidupnya berlainan dari anda - bukan hanya perjuangkan kepentingan diri sendiri. Ini pendirian saya, tetapi pasti anda tertanya-tanya: mengapa TMBF tetiba selitkan unsur-unsur politik, sosial dan agama dalam blog rebiu filem?

Sebab pendirian saya ini mempengaruhi pendapat saya tentang filem Aku Bukan Tomboy ini.

Farisha (Scha Al-Yahya) seorang gadis tomboy yang berpewatakan kasar dan agresif, serta berambut pendek yang kiut. Dia bekerja sebagai penghantar pizza dan tinggal bersama ayahnya (Harun Salim Bachik). Kawan karibnya Harry (Shaheizy Sam) yang sudah mengenalnya sejak zaman sekolah, tetapi baru-baru ini saja mula sedar bahawa Farisha sebenarnya perempuan, dan mula jatuh hati dengannya. Seorang lagi yang jatuh cinta dengan Farisha ialah Burn (Syamsul Yusof), seorang eksekutif dari keluarga berada yang lurus bendul sehingga dibuli oleh PAnya Sally (Eira Syazira) yang menganggap dirinya kekasih Burn. Tambahan pula, Farisha sering dijadikan bahan rebutan oleh gadis pengkid lesbian, terutamanya Sam (Salina Saibi) dan Bell (Sheera Iskandar). Burn mesti memberanikan diri, Harry mesti menyuarakan perasaanya terhadap Farisha, dan Farisha mesti memilih jejaka manakah yang akan diberi hatinya.

Sebenarnya banyak persamaan antara filem ini dengan filem Bini-Biniku Gangster. Pertama, dua-dua ada Shaheizy Sam. Kedua, dua-dua tajuknya ada tiga perkataan. Ketiga, dua-dua menyerlahkan bakat dan karisma pelakon wanita utamanya yang amat cemerlang. Scha Al-Yahya berjaya mencipta seorang heroine yang mudah disukai dan sedap ditonton, serta kiut nak mampus. Malah selain komedi, beliau juga berjaya melakonkan babak dramatik dengan berkesan dan menyentuh hati. Memandangkan dua filemnya sebelum ini, jelas beliau amat selesa dengan watak-watak sebegini. Saya takkan memanggilnya watak tomboy sebab "tomboy" itu hanya sebuah label. Saya suka melihat watak perempuan yang berkemampuan seperti lelaki dan diberi peranan utama yang menarik, mencabar dan bertigadimensi. Dengan filem ini, Scha telah membuktikan kebolehannya menerajui sebuah filem, dan saya sedia menanti-nantikan filem berikutnya.

Beliau juga dibantu dengan mantap oleh Shaheizy Sam yang memang berbakat semulajadi dalam bidang komedi, dan Syamsul Yusof yang cukup berani membawa watak yang berlainan sama sekali dari hero macho yang biasa dia lakonkan. Dialog yang diskripkan oleh JV Nadirah dan Rizal Ashreff juga bijak dan lawak, menjadikan interaksi antara Farisah dengan Harry, Farisha dengan bapanya serta Farisha dengan Burn amat menggelikan hati. Saya cukup terkesan dengan bagaimana Harry dan Burn dijadikan seimbang tandingan mereka demi menawan hati Farisha. Bila Farisha bersama Harry, mereka secocok sekali - tapi juga ada adegan romantis antara Farisha dengan Burn yang membina hubungan cinta mereka. Harry kenal rapat dengan Farisha, tetapi harus mengatasi prejudisnya terhadap sifat Farisha yang tomboy; Burn pula sedia menerima Farisha dari saat pertama, tetapi ada masalahnya sendiri yang perlu diselesaikan sebelum dapat menjadi kekasih Farisha.

Malangnya, masalah ini tidak diselesaikan. Sama seperti Bini-Biniku Gangster, cerita yang sedap digagalkan kerana penamatan yang kurang elok. Soalan utama yang dikemukakan oleh cerita ini - iaitu, siapa lelaki yang Farisha akan pilih - langsung tidak terjawab. Filem ini tidak tamat, ia berhenti begitu saja! Malah Farisha mengatakan melalui voiceover bahawa dia "akan jawab nanti" siapa lelaki yang terdekat dihatinya, tetapi jawapannya tak datang-datang. Apakah sepatutnya ada post-credits scene yang tak ditayang oleh panggung dimana saya menontonnya? Atau apakah ini dirancang untuk menjadi umpan sekuel? Bagaimanapun ini amat lemah. (Lagipun jawapannya sudah nyata; lelaki tersayang Farisha adalah bapanya.) Seolah-olah Syamsul sebagai pengarah - atau Yusof Haslam sebagai penjana cerita asal - tidak sedar akan penggerak ceritanya sendiri. Sepanjang filem ini, kerap juga saya rasa ceritanya berlengah-lengah dan tidak menuju ke mana-mana.

Datanglah kini kepada pendekatan filem ini terhadap isu seks dan jantina - yang jelas masih menghakimi dan mencela golongan LGBT. Ia boleh menerima ke-tomboy-an Farisha, tapi watak-watak pengkid lesbian Sam dan Bell dipaparkan sebagai gangster dan bersifat pendera dalam hubungan cinta. Malah ada satu adegan dimana Bell dijadikan bahan ketawa oleh Farisha dan rakan-rakan sekerjanya, hanya kerana lamaran cintanya ditolak. Mengapa? Mengapa gadis lesbian perlu dijadikan watak jahat? Mengapa Farisha tiba-tiba bertukar dari heroine yang mudah disukai kepada seorang buli yang mengaibkan orang lain dengan kejam? Mengapa watak-watak "wanita sejati" seperti Sally dan ibu Burn (lakonan Didie Alias), yang benar-benar berkelakuan keji, tidak "dihukum" sebegini? Saya harapkan mungkin Sam dan Bell boleh menjadi pasangan cinta, ataupun Bell boleh berpasangan dengan kawannya yang juga pengkid (lakonan Zarina Zainoordin), tetapi filem ini langsung tiada belas kasihan terhadap mereka.

Saya rasa ini tidak betul. Saya rasa sifat benci dan bengis ini melemahkan filem ini. Walaupun ia lebih murni dari filem 3, 2, 1 Cinta yang juga bertemakan sifat gadis tomboy tetapi lebih sadis menyiksa watak utamanya, namun Aku Bukan Tomboy sepatutnya lebih sensitif dan progresif. (Ketidaksensitifan juga ada dalam satu adegan dimana Farisha diancam rogol oleh tiga orang mat rempit; wahai Tuan Pengarah Syamsul, rogol itu bukan bahan jenaka.) Jujur kata, saya mendapat tanggapan bahawa skrip asalnya ada babak dimana Sam dan Bell mendapat pengakhiran yang bahagia, tetapi ditolak oleh Pihak-Pihak Tertentu. Apakah besar sangat dosa mereka sebagai pencinta hubungan sejenis? Lebih besar dosanya dari perempuan yang asyik marah-marahkan kekasih lelakinya, memboroskan duitnya, serta memandang hina orang bertaraf rendah? Jangan nak cakap pasal agama dengan saya; dari segi moral, ini saya tak boleh terima.

Komen-komen yang lain: mutu pasca produksinya agak kureng dari segi colour correction, dimana satu adegan boleh ada tiga empat jenis warna pencahayaan. Dan gejala muzik ciplak timbul lagi; jelas kedengaran muzik dari filem Toy Story kena cedok kedalam filem ini. Walau dah biasa amalan ini dalam filem tempatan, tetap saya akan menuding jari dan mengecam pembikin filem yang melakukan kesalahan ini sehingga (insyallah!) mereka tak buat lagi. Namun begitu, saya rasa inilah filem arahan Syamsul yang terbaik pernah saya lihat. Masalah dialog kaku yang menjadi kebiasaan dalam filem-filemnya tidak timbul kali ini, dan garapan komedi dan perwatakannya sedap ditonton. Keinginannya mencuba genre baru juga harus dipuji. Tetapi kelemahannya dari segi penceritaan masih perlu dibaiki - dan sikap homofobiknya sesuatu yang tidak patut dicontohi. Baiklah! TMBF kini sedia menerima cacimakian dan hentaman dari mereka yang anti-gay dan homoseks dan ingin menempatkan golongan ini di neraka. Sila tunjukkan kebencian anda yang suci dan soleh di bebenang komen catatan ini. Bring it on!

NEXT REVIEW: 50/50
Expectations: expecting great things from this one

5 comments:

hzrhkamal said...

you gave 3 stars to syamsul yusof's movie :)

TMBF said...

@Hazirah: OMG I did! ;)

Amarantha said...

i didn't want to watch this movie because the title gave the implication that it might be biased against the LGBT community, something i find rather annoying in our local movies... seems i'm right, but after reading your review, i might give it a chance :)

Avec Daria said...

People like you make me believe that our country still have a future. Thanks for the superb review, won't watch the movie though. great blog too, keep it up.
p.s I can't believe this syamsul guy won the yasmin ahmad award (or smtg like that), he didn't deserve it.

Lord Mark said...

Are you tired of being human, having talented brain turning to a vampire in a good posture in ten minutes, Do you want to have power and influence over others, To be charming and desirable, To have wealth, health, without delaying in a good human posture and becoming an immortal? If yes, these your chance. It's a world of vampire where life get easier,We have made so many persons vampires and have turned them rich, You will assured long life and prosperity, You shall be made to be very sensitive to mental alertness, Stronger and also very fast, You will not be restricted to walking at night only even at the very middle of broad day light you will be made to walk, This is an opportunity to have the human vampire virus to perform in a good posture. If you are interested contact us on Vampirelord7878@gmail.com