1 jam 22 minit yang tidak berbaloi ditonton ~ That Movie Blogger Fella

Saturday, July 21, 2012

1 jam 22 minit yang tidak berbaloi ditonton

8 Jam
My rating:




Sebelum filem ini bermula, panggung wayang menayangkan tidak kurang dari empat trailer filem-filem Metrowealth akan datang. Satu dimana Zul Suphian ingat dia boleh jadi pelawak, satu dimana Aeril Zafrel terpaksa cari makan dengan melakonkan filem MIG, satu cerita Islamik ala filem-filem 1 bintang Syurga Cinta dan Aku Masih Dara, dan satu filem aksi yang memaparkan cara pengendalian senjata api yang amat salah. Tiada satupun yang menarik minat saya hendak menontonnya. (Okeylah, PE3 mungkin ada potensi sikiiiit.) Filem 8 Jam ini adalah filem Melayu terakhir setakat ini yang saya rasa hendak tonton, kerana trailernya seakan-akan filem Merantau Warrior atau Ong Bak versi tempatan. TMBF pun curiga jika negara kita boleh menjayakan filem aksi seni beladiri yang setanding dengan filem-filem tersebut.

Samada negara kita boleh atau tidak, belum tentu. Yang pasti ialah Ahmad Idham langsung tak boleh.

Alang (Shaheizy Sam) seorang banduan hukuman mati yang bakal dijatuhkan hukumannya tak lama lagi, atas kesalahan membunuh. Sementara menunggu hukuman, dia menceritakan kisah hidupnya kepada Inspektor Akhiruddin (Eizlan Yusof), bermula dari zaman kanak-kanak (lakonan Fimie Don) ketika ibunya (Lydiawati) dibunuh oleh seorang along (Chew Kin Wah). Ketika di rumah anak yatim, Alang bertemu dan jatuh hati dengan seorang gadis bernama Julia (lakonan Erynne Erynna ketika kecil, Yana Samsudin ketika dewasa) - tetapi ketika masih remaja lagi, Julia dibawa pergi oleh mak saudaranya dan putus hubungan dengan Alang. Apabila dewasa, Alang bekerja sebagai peniaga pasar borong, tiba-tiba bertemu kembali dengan Julia. Mereka hidup berpasangan dan merancang untuk berkahwin, tetapi kebahagiaan mereka diancam oleh samseng dan gengster yang bermaharajalela di kawasan lorong gelap tempat tinggal mereka.

Adalah mustahil bagi saya mengulas filem ini tanpa membincang babak akhirnya, jadi terpaksa saya menge-spoil-kannya di sini: orang yang dibunuh oleh Alang, yang menyebabkannya dipenjarakan dan dihukum mati, ialah Julia. Kekasihnya Julia, cinta sejatinya dari permulaan cerita ini sampai akhir. Keputusan Ahmad Idham dan penulis skrip Tommy CT Lor untuk mengakhiri filem ini sebegini telah merosakkan cerita ini. Mungkin seorang pembikin filem yang benar-benar mahir boleh menjadikan ia sebuah filem yang berkesan; cerita tragis dimana watak utama akhirnya dijahanamkan oleh kelemahan keperibadiannya. Mungkin itu yang disasarkan oleh Ahmad Idham dan Lor - tetapi langsung tidak kena.

Kerana sepanjang cerita ini, kita diundang untuk memihak kepada Alang. Setiap peristiwa hidupnya bertujuan untuk membuat kita terasa simpati terhadapnya; kita melihatnya sebagai watak yang mulia dalam dunia yang keji. Terutamanya dalam babak-babak aksi dimana dia melawan kuncu-kuncu geng yang jahat sejahat-jahatnya mereka. Inikan filem aksi, sudah tentu penonton akan memandang tinggi wira aksi! Habis kenapa akhirnya dia membunuh seorang gadis yang tidak bersalah? Atas sebab gadis itu sebenarnya sudah bertunang, dan ingin pulang ke kampung untuk memutuskan pertunangannya agar cintanya dengan Alang boleh disempurnakan? Okey, saya boleh lihat beberapa kiasan di sepanjang jalan ceritanya bahawa Alang tidak boleh mengawal perasaan marah, dan mungkin ini suatu kelemahan manusia yang boleh disimpatikan. Tetapi akhirnya, dia bunuh Julia bukan kerana marah, tapi kerana perasaan cemburu dan menganggap Julia sebagai harta yang tidak boleh dimiliki orang lain. Wira kepala hotak engkau!

Tapi bagaimana pula dengan babak-babak aksi seperti yang diwar-warkan dalam trailer? Pendapat saya, itu pun lemah. Walaupun menggunakan khidmat pengarah aksi serta pelagak ngeri dari Thailand yang pernah terlibat dalam filem-filem Tony Jaa, namun bila diimpot ke Malaysia je jadi hampeh. Koreografi lawannya tidak imaginatif. Aksi ngerinya tidak mengujakan. Merantau Warrior ada mamat terjah buluh masa tengah lompat dari bumbung, kau ada apa? Arahan Ahmad Idham, sudut kamera dan penyuntingan juga tidak berkesan dalam membina keghairahan. Antara adegan aksinya termasuk satu babak ketika Alang mengejar seorang penyeluk saku yang juga pakar parkour (suatu kemahiran yang memang tak boleh cari makan, jadi kenalah jadi penyeluk saku kan?) yang asyik bertunggang dan berkuang tak tentu pasal. Tapi hakikatnya, filem ini lebih banyak drama dari aksi. Drama yang boring giler. Jangkamasa tak sampai 1-½ jam, tapi terasa panjang macam tajuknya.

Saya ramal filem inilah yang akan menjatuhkan saham Shaheizy Sam. Beliau telah banyak dipuji atas bakat lakonannya, dan juga berjaya menarik penonton hingga pecah panggung sejak filem Adnan Sempit lagi. Tapi disini, persembahannya tidak bagus. Lakonannya terlalu over, terutamanya dalam babak di penjara dimana beliau asyik menggigil dan menggeletar sehingga tahap lucu. Rebiu-rebiu lain mungkin memujinya (sebab dah biasa kot), tapi saya dengar dengan telinga sendiri penonton-penonton ketawa ketika adegan-adegan dramatiknya. Yana Samsudin pula, saya tak tahu kenapa beliau sanggup mengambil watak love interest yang perlukan hero untuk menyelamatkannya, sedangkan beliau sendiri telah membuktikan kebolehannya sebagai wirawati aksi. Jika industri filem kita lebih maju, tentu ada banyak lagi filem-filem dimana Yana boleh menunjukkan bakatnya yang sebenar, daripada terpaksa melakonkan watak yang tidak setimpal dengan martabatnya.

Tetapi industri kita memang tidak maju. Sebab mengapa saya kata saham Sam bakal jatuh ialah kerana Zizan Razak nampaknya sudah menjadi bintang meletup yang baru. Setiap filemnya yang saya tonton, telatahnya pasti dapat membangkitkan ketawa, sepertimana Sam dahulu berjaya menghiburkan penonton tapi gagal kali ini. Jika Zizan kini telah mengganti Sam, ini bermaksud Sam hanya beraja selama 2 tahun. Begitu singkatnya karier seorang seniman dalam masyarakat kita ini; masyarakat yang tidak pentingkan seni, yang telah menghasilkan pembikin-pembikin filem yang juga tidak pentingkan seni. Kita lihat nanti kemana arah kerjaya Sam nanti; mungkin dia dapat membuktikan ramalan saya salah dengan filem baru yang bakal pecah panggung. Tapi yang pasti ialah, jika kualiti filem tempatan masih di tahap filem 8 Jam ini, TMBF dah tak larat nak tonton lagi.

NEXT REVIEW: The Dark Knight Rises
Expectations: oooohhh yeah

6 comments:

skulluv said...

rasa macam cerita ni jauh lebih ok dari cerita ahmad idham yang lain.hehe

Jiman Najmi said...

dude, your links in the article don't work, remove the www.blogger.com. other than that, good review, i planned on watching it on cinema, but since it's already out in youtubeeee... lol

TMBF said...

@Jiman Najmi: Fixed, thanks.

Ivan Lim said...

dude, when you wanna watch Tanda Putera?

fadz said...

1- Tolong janganlah berhenti tonton filem tempatan, andalah harapan kami yg terakhir!

2- Anda mmg pengulas yg pandai meneliti "casting effort" patut pihak penerbit filem cari anda untuk memilih pelakon dgn berkesan.

3- Masalah dgn penonton yg menonton filem tempatan skrg ialah, semuanya mereka nak KETAWA, mereka nak COMIDEAN/CLOWN, mereka tak nak PELAKON, tgk apa yg berlaku dgn SONGLAP. Kerana keseriusan Sam dalam filem tu, langsung mereka tak nak tonton.

Lord Mark said...

Are you tired of being human, having talented brain turning to a vampire in a good posture in ten minutes, Do you want to have power and influence over others, To be charming and desirable, To have wealth, health, without delaying in a good human posture and becoming an immortal? If yes, these your chance. It's a world of vampire where life get easier,We have made so many persons vampires and have turned them rich, You will assured long life and prosperity, You shall be made to be very sensitive to mental alertness, Stronger and also very fast, You will not be restricted to walking at night only even at the very middle of broad day light you will be made to walk, This is an opportunity to have the human vampire virus to perform in a good posture. If you are interested contact us on Vampirelord7878@gmail.com