<i>Shaolin Soccer</i> versi takraw yang jauh lebih tak malu ~ That Movie Blogger Fella

Wednesday, October 12, 2011

Shaolin Soccer versi takraw yang jauh lebih tak malu

Libas
My rating:




Nampaknya filem ini sudah kurang berjaya dalam pasaran, berdasarkan berita ini serta pemerhatian saya ketika menontonnya dalam panggung yang 3/4 kosong. Ini menyedihkan, kerana Libas adalah sebuah lagi filem bertema sukan yang tidak mendapat sambutan dari penonton tempatan. Nyatalah hanya tiga buah genre yang mampu menarik penonton: filem gangster, filem hantu dan filem rempit. Dan yang kedua tu filem hantu, bukan filem seram, sebab kalau takde hantu maknanya tak laku. Susahlah dunia filem kita nak berkembang macam ni, kalau citarasa penonton sempit nak mampus macam ni. Ya, memang saya salahkan penonton. Khususnya penonton Melayu. Sebab koranglah Malaysia tak boleh maju.

Tapi saya tak sedih filem ini tidak berjaya. Sebab ia tak bagus pun.

Adnan Saladin (Rosyam Nor) ialah "Raja Libas" Malaysia, pemain sepak takraw negara dalam sebuah pertandingan bawah tanah - namun dia tewas kepada pasukan Thai yang diketuai Aek Nangkorn (Zek Zamri). Pertarungan yang akan datang akan mempertaruhkan sebiji bola raga pusaka yang membuktikan sukan takraw dicipta di Tanah Melayu; dengan itu, Adnan diminta oleh jurulatihnya (Mohd Razib Salimin) membina pasukan baru bagi mempertahankan maruah bangsa Melayu. Adnan mencari Hamadi (Johan Raja Lawak), seorang pemuda yang mempunyai bakat semulajadi, serta Kumok (Fadzly Kamarulzaman) seorang yang gemuk tetapi tegap. Pemain yang ketiga pula ialah Megat (Beego), seorang pemain lama yang sebenarnya berpakat dengan Aek Nangkorn untuk membelot pasukan Malaysia. Namun Adnan memilih Megat walaupun Ratna (Scha Al-Yahya), anak jurulatih dan kekasih lama Adnan, juga hebat kemahiran takrawnya - kerana pertandingan yang akan datang sungguh ganas dan kejam, apa lagi dengan pasukan Thai yang bermain kotor.

Sekali lagi kita ada sebuah filem tempatan yang menciplak Shaolin Soccer arahan Stephen Chow Sing Chi, tapi yang ini jauh lebih banyak persamaannya dari filem Estet hingga ke tahap ciplak. Tapi sebenarnya, Libas mengingatkan saya tentang Haq, sebuah lagi filem Melayu yang bercita-cita tinggi, yang banyak menggunakan efek CGI, yang ingin membawa kelainan tetapi sama hampa. Oleh sebab itu, saya akan mengulangi kaedah pengulasan yang saya guna semasa merebiu filem itu, iaitu menulis ulasan secara point form. Saya tak mahu selalu menggunakan kaedah ini kerana ia cara pengulasan yang saya anggap agak malas - tetapi jujur kata, memang saya rasa malas nak mengulas filem ini.

- Ini cerita yang tak masuk akal. Ia memaparkan sebuah dunia dimana wujudnya pertandingan sepak takraw bawah tanah - tapi ada siaran langsung di TV - yang disertai pasukan dari Jepun, China, Iran dan Amerika Syarikat. Hadiah kemenangannya ialah wang tunai AS$100,000, dianjurkan oleh entah siapa. Jelas ini dunia rekaan semata-mata, tetapi itu bukan masalahnya; masalahnya ia tidak direka dengan teliti. Dunia rekaan pun perlu ada logik tersendiri, tapi filem ini langsung tiada logik.

- Ini kerana skrip tulisan Martias Mohd Ali yang kurang logiknya. Pertandingan ini ialah untuk menuntut bola raga pusaka agar ia kekal dimiliki orang Melayu. Jadi bola tu berada di tangan pasukan Thai lah kan? Eh tidak - Adnan yang simpan. Abih buakpe kau pertaruhkan bola tu?? Plot tak masuk akal, emosi ceritanya pun tidak menjadi. Percintaan antara Adnan dengan Ratna, penebusan Adnan terhadap kekalahan lamanya, motivasi Megat untuk menjual permainan, semangat lawan demi mempertahankan maruah bangsa Melayu - semuanya tidak terasa. Tidak berkesan. Tidak berfungsi. Dalam istilah orang filem, it doesn't work - kerana skrip Martias gagal mengolah kesemua subplot ini dengan sempurna.

- Malah mutu teknikalnya juga kureng, terutamanya pada aspek bunyi. Terlalu banyak babak dimana efek bunyi langsung tidak dibubuh, seolah-olah jurutera bunyi meminta 5 hari untuk melaksanakan tugasnya tapi hanya diberi 1-½ hari. Kesudahannya ialah sebuah filem yang macam separuh masak. Tapi nampaknya penerbit filem ini memang tak peduli dengan aspek bunyi, kerana pengadun efek CGI pula diberi masa yang secukupnya untuk mengemaskan efek khas. Kemas tapi membosankan, sebab asyik buat bola berapi je, takde idea lain selain bola berapi. Shaolin Soccer ada satu syot bola berapi je laa!

- Satu lagi persamaan dengan Haq ialah pengarah yang ghairah dengan teknik-teknik perfileman yang bergaya, tetapi tidak padan dengan cerita. Malah segala montage, fade-out dan slo-mo hanya melengahkan kadar jalan ceritanya dan membuat penonton jemu. Yang paling menjengkelkan saya ialah dialog yang bertangguh-tangguh. Setiap baris ayat diikuti dengan pause 2-3 saat sebelum ayat seterusnya - tambahan pula, dialog tu bukannya berat sangat maksudnya. Pengarah Jurey Rosli tak tahu-menahu tentang komedi, kerana yang paling penting dalam komedi ialah pacing.

- Nampaknya apa yang Jurey tahu tentang komedi ialah lawak sengal. Barisan pelakon yang melakonkan pasukan Thai - selain Zek Zamri, ada Sallehuddin Abu Bakar, Yuswaisar dan Yang Kassim - semua diarah bercakap dengan loghat Thai yang menyakitkan telinga dan mendungukan watak-watak tersebut. (Hanya Adam Corrie yang selamat kerana tidak banyak bercakap.) Adegan-adegan bersama mereka ditujukan sebagai comic relief, tetapi langsung tiada jenaka dalam babak-babak tersebut; hanya ada lakonan sengal. Sengal tanpa lawak: itulah lambang filem Melayu.

- Okey, mai saya puji sikit. (Sikit je.) Saya suka Scha Al-Yahya kerana berjaya membawa watak wirawati aksi yang badass. Kalau dia yang ganti Intan Ladyana dalam filem Bini-Biniku Gangster, tak mustahil kalau saya tambah setengah bintang kepada rating filem itu. Saya juga suka Beego yang cukup membawa sifat slimeball kepada watak Megat. Tetapi Johan Raja Lawak tetap over-the-top seperti dalam filemnya sebelum ini, dan Rosyam Nor sering kelihatan kayu dan kurang selesa. Mungkin dia sebenarnya tidak sesuai untuk filem komedi broad seperti ini.

- Tapi perkara yang benar-benar buat saya meluat: sebuah adegan dimana runut bunyinya dirembat bulat-bulat dari soundtrack The Dark Knight ciptaan Hans Zimmer. Wei! Tak tau malu ke?? Masalah curi muzik ini pernah dilihat dalam filem tempatan sebelum ini, tetapi saya sangka sudah berkurangan baru-baru ini. Rupanya ia masih berleluasan, cuma saya yang tak nampak sebab saya tak berapa kenal sangat dengan kebanyakan soundtrack filem. Sudah pasti muzik-muzik lain dalam filem ini juga diciplak dari entah mana filem Barat yang lain. Pencuri dan penyangak! Moga filem kau rugi akibat dicetak rompak!

- Namun saya cukup pasti DVD cetak rompaknya pun tak ramai yang nak beli. Saya rasa sebab utama mengapa filem ini tidak berjaya di pasaran ialah penonton tidak yakin bahawa filem tempatan boleh menjayakan adegan aksi sukan dengan CGI yang berkesan dan mengujakan. Ketidakyakinan mereka memang betul; kegagalan Jurey bertambah dengan babak-babak takraw yang menjemukan. Tak nampak pun apa-apa strategi atau taktik permainan; tak nampak pun koreografi atau susunan aksi. Jurey hanya tahu guna montage bagi memfilemkan adegan pertandingan. Tengok permainan takraw yang sebenar pun lagi seronok.

Ada sebab mengapa saya malas nak ulas filem ni: sebab filem Shaolin Soccer sendiri dah boleh jadi ulasan yang paling teliti. Libas buta-buta meniru idea, struktur cerita, malah beberapa watak sekali dari filem tersebut, tetapi hilang segala isi dan kualitinya. Agaknya Jurey dan Martias hanya menganggap filem Stephen Chow itu sebagai komedi ringan yang sengal, tetapi mereka salah sama sekali. Shaolin Soccer adalah sebuah filem klasik moden Hong Kong, yang menjadi contoh bagaimana filem yang mudah difahami juga boleh mengandungi makna yang mendalam dan menyentuh hati. Segala yang gagal dengan Libas, Shaolin Soccer berjaya - dan segala yang Shaolin Soccer berjaya, Libas gagal. Wahai pembikin filem tempatan, cukuplah nak meniru filem ini yang jauh diluar kemampuan anda. Cukuplah dengan dua percubaan yang sama menghampakan.

NEXT REVIEW: The Three Musketeers (2011)
Expectations: Paul W.S. Anderson meh, but steampunk yay!

4 comments:

PerangFilem said...

oo ye ke? nasib tak tengok... apa2 pun mereka dah mencuba. nice review!

zulfadhlimansor said...

sepak takraw sendiri kurang digemari di bumi sendiri... lagilah susah nak suruh orang pi tengok kat wayang....

son of the land said...

kalau filem ni bagus, mungkin boleh menarik minat orang ramai pada sukan takraw semula, tapi malangnya... sigh
Filem kita takkan maju kalau pembikin filem masih tengok pada permukaan saja. Cedok filem lain pun cuma pada yang tersurat, tapi tak sedar yang tersirat pun sangat penting.

Anonymous said...

for me, the most renowned soundtrack ciplaker in our nation is always Syamsul Yusof (carbon copy, with some minimal editing).

but hey, in sound department no one can beat the boink boink comical sound prominent in most of a. razak mohaideen's films.